Meriahnya Syawal MARA bersama 3000 Warga Keluarga MARA

Oleh: Zahemi A. Islami

YB Menteri bersama warga kerja MARA

Bangi, 26 Mei 2022- Majlis Amanah Rakyat (MARA) meraikan Syawal dengan meriahnya hari  ini bersama 3000 hadirin dari kalangan keluarga MARA, subsidiari MARA, pesara MARA, pelajar IPMA, termasuk rakan strategik dan usahawan bimbingan MARA di Feisol Hassan Halle,  German Malaysian Institute (GMI), Bangi.

Menteri Kemajuan Luar Bandar, YB Dato’ Seri Mahdzir Khalid berbesar hati menjadi tetamu kehormat ke majlis tersebut. Beliau menyatakan tujuan utama majlis sebegini adalah bagi bersama-sama mengerat dan berkongsi kemeriahan dalam kalangan keluarga MARA termasuklah rakan strategik dan pemain industri MARA yang bersama menyumbang dalam pembangunan dan kemajuan MARA.

“MARA berusaha meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan dalam bidang keusahawanan, pendidikan dan pelaburan. Oleh itu rakan strategik dan pemain industri amatlah penting bagi melonjakkan nama MARA dalam industri, terutamanya bidang berkaitan Technical & Vocational Educational Training (TVET),” ujar beliau mengingatkan semua akan kepentingan menghargai dan menjaga keakraban bersama mereka. “Saya merasakan hari ini juga, kita turut sama meraikan kejayaan MARA sepanjang penubuhannya lebih lima dekad lalu” sambung beliau.

Majlis ini dihadiri bersama oleh Pengerusi MARA, YB Datuk Seri Panglima Hajah Azizah Datuk Seri Panglima Haji Mohd Dun, Ketua Pengarah MARA, YBhg Dato’ Azhar Manaf dan Pengerusi MARA Corporation, YB Senator Daro’ Wira Othman Aziz.

Majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri MARA pada setiap tahun sentiasa dinantikan oleh seluruh keluarga MARA namun telah tertunda selama dua tahun ekoran pandemik COVID-19. Sambutan hari raya pada kali ini merupakan gabungan kerjasama di antara MARA dan subsidiari MARA dalam penyediaan juadah dan persiapan tempat. Oleh itu kemeriahannya pada kali ini amat terasa sekali oleh seluruh tetamu yang hadir. Majlis juga turut dihiburkan dengan persembahan daripada MARA Voice, UniKL Voice dan MARA Band yang keanggotannya terdiri daripada warga kerja MARA dan subsidiari MARA sendiri.  Sesungguhnya kemeriahan Syawal kali ini dapat mengerat dan mengukuhkan silaratulrahim sesama keluarga MARA serta rakan strategik MARA di samping meneruskan kecemerlangan kejayaan MARA.

                                                                      

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.