Tekad untuk menjadi doktor yang penyayang

Oleh: Zahemi A. Islami

Shah Alam, 22 Mei 2022- Pengalaman hampir dua dekad berkhidmat sebagai doktor perubatan di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Putrajaya dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, memberi semangat dan keyakinan kepada Dr. Khairunnisa’ Dato’ Hj Mohd Nahwari melangkah lebih jauh dengan membuka kliniknya sendiri U.n.i Klinik Seksyen 7 Shah Alam (DRK HEALTH SDN BHD) kerana percaya ini akan memberi peluang kepadanya untuk lebih mendekati orang ramai secara peribadi selain memberi peluang kepada beliau menjadi seorang usahawan.

Dr. Khairunnisa’ merupakan bekas pelajar Sekolah Agama Menegah Bestari, USJ 5 Subang Jaya sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Malaya-RCMP selama 5 tahun di bawah tajaan JPA.

Anak ke dua daripada tiga adik beradik ini sentiasa mempunyai sifat suka membantu orang ramai yang dipupuk sejak kecil lagi. Kelebihannya dalam bidang pelajaran telah melayakkan beliau untuk meneruskan pengajiannya dalam bidang perubatan dan kesempatan ini menjadi titik tolak dalam kerjaya beliau sebagai seorang doktor.

“Melihat kesusahan dan kepayahan ibu bapa saya yang terpaksa berulang alik ke hospital membawa adik mendapatkan rawatan dan pembedahan akibat ketumbuhan kecil di tangan menjadi iltizam kepada saya untuk menjadi seorang doktor,” mula bicara Dr. Khairunnisa’ mengingat kembali bagaimana pengalaman ini telah mendorong beliau untuk menjadi seorang doktor. “Saya tekad untuk menjadi seorang doktor yang kelak bukan sekadar dapat membantu pesakit secara luaran tetapi juga seorang doktor yang mampu merawat dengan sentuhan seorang ahli keluarga kerana saya yakin dengan sentuhan dan keperihatinan sebagai seorang kakak kepada mereka yang muda, bagai seorang ibu kepada anak-anak kecil, lebih-lebih lagi bagai seorang anak kepada orang tuanya, mampu memberi sokongan kuat dari segi psikologi mereka untuk cepat sembuh.” kata beliau lagi sambil mengingat bagaimana sentuhan kasih sayang yang ditunjukkan oleh kedua ibu bapanya membantu dalam proses pemulihan adiknya dahulu. Dr. Khairunnisa’ telah mendirikan rumah tangga bersama Mu’adz bin Ahmad Tarmidi, yang juga bertanggungjawab sebagai Pengarah Urusan Operasi dan Kewangan di klinik tersebut dan bahagia dengan kehadiran tiga orang cahaya mata.

Peluang yang diberikan oleh MARA pada tahun 2019 dengan menyertai program ProSPEC, menjadi satu kenangan amat manis kerana kini beliau mampu untuk merealisasikan segala impiannya memiliki sebuah klinik mengikut gaya dan matlamatnya sebagai seorang doktor dengan sentuhan seorang insan penyayang. Namun permulaan operasi kliniknya bukanlah sesuatu yang mudah kerana pembukaan kliniknya adalah pada ketika peringkat awal pandemik COVID-19 mula melanda negara. Sumber kekuatan dari ibu ayah, suami dan keluarga menjadi pendorong utama beliau untuk meneruskan cita-citanya sebagai seorang doktor bergelar usahawan. “Jangan tinggalkan solat dhuha dan sentiasa lakukan sedekah subuh setiap hari,” nasihat Dr. Khairunnisa kepada mereka yang ingin mencari keberkatan dalam apa juga pekerjaan yang dilakukan dan amalan ini lah yang menjadi rutin hariannya.

Walau pun baharu beroperasi selama dua tahun, kini, Dr. Khairunnisa’ boleh berbangga dengan pencapaiaan U.n.i KLINIK Seksyen 7, Shah Alam miliknya, melalui beberapa projek yang dijayakan bersama empat U.n.i KLINIK iaitu 1st Private CAC U.n.i KLINIK di Malaysia di UEM, PJ, 1st One Stop Centre (Private CAC & PKRC) in Malaysia di Hotel Concorde, Shah Alam, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) (REMAJA) di UEM,PJ dan PPV PICKids dan REMAJA di MMU,Cyberjaya. Kejayaan ini turut dikongsi secara bersama melalui usahasama dari U.n.i.KLINIK Bandar baru Bangi, Sri Pristana dan Danau Kota. U.n.i.KLINIK Seksyen 7, Shah Alam turut menyertai PPV Mega di PWTC bersama 26 buah U.n.i KLINIK yang lain.

U.n.i KLINIK Seksyen 7 ini turut dibantu bersama 3 orang doktor residen yang berpengalaman lebih sepuluh tahun dalam bidang masing-masing dan berserta 15 orang staf, menyediakan perkhidmatan merangkumi pemeriksaan kesihatan wanita dan ibu mengandung, saringan kesihatan keluarga dan kanak-kanak, perkhidmatan kesihatan dan perancang keluarga, pemeriksaan haji dan umrah, perkhidmatan pembedahan kecil, ujian saringan COVID-19, vaksinasi, ultrasound, juga terdapat makmal pantas mini dan lawatan berkala dari pakar sakit puan serta pelbagai bentuk perkhidmatan rawatan lagi. Ini menjadikan U.n.i.KLINIK Seksyen 7, Shah Alam amat sesuai sebagai pusat sehenti atau one-stop-centre untuk pelbagai perkhidmatan rawatan kesihatan selaras dengan anugerah yang diterimanya.

U.n.i KLINIK Seksyen 7 yang dibuka dengan rasminya pada 1 Mac 2020, merupakan salah sebuah klinik daripada 11 buah cawangan klinik U.n.i KLINIK di sekitar Selangor dan daripada 36 buah jaringan U.n.i KLINIK di seluruh negara yang sehingga April 2022, telah memberi peluang pekerjaan kepada 99 orang di seluruh cawangan klinik. U.n.i KLINIK dibangunkan di bawah Program Pembangunan Usahawan Profesional MARA (ProSPEC) dengan matlamat menawarkan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan premium di bawah satu sistem yang cekap dengan harga yang berpatutan.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.