MARA PRIHATIN RAMADAN MERAIKAN 314 PENERIMA SUMBANGAN PROGRAM PERINGKAT NEGERI SEMBILAN

SEREMBAN (22 April) – Pejabat MARA Negeri Sembilan dengan kerjasama anak syarikat MARA, Yayasan Pelajaran MARA (YPM) dan Rural Capital Berhad (RCB) telah bersama-sama menjayakan Program MARA Prihatin Ramadan Peringkat Negeri Sembilan yang bertujuan untuk meringankan beban kos perbelanjaan dan pembelajaran asnaf  di bulan Ramadan ini. Program secara bersama ini telah berlangsung tiga (3) tahun berturut-turut sejak tahun 2020 dan sepanjang tempoh itu, MARA telah menyantuni seramai 674 penerima (594 pelajar & 80 keluarga Asnaf) dengan jumlah kewangan sebanyak RM79,955.00.

Tahun ini dengan tema “Semarak Kasih Ramadan”, 234 penerima sumbangan telah mendapat perhatian dari MARA. Kerjasama yang dijalinkan dengan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Jabatan Pendidikan Negeri, Negeri Sembilan (JPNS) berjaya mengagihkan sumbangan kepada 30 keluarga asnaf dan 100 pelajar dari kumpulan B40. Selain itu, seramai 104 pelajar KKTM Rembau yang terkesan kerana pandemik COVID-19 turut mendapat perhatian pihak Yayasan Pelajaran MARA (YPM).

Manakala itu, seramai 100 pelajar asnaf telah mendapat perhatian dari YPM dan kumpulan usahawan MARA Negeri Sembilan yang berbesar hati menyumbang RM100.00 setiap seorang pelajar yang terdiri daripada 49 orang pelajar sekolah menengah dan 51 orang pelajar sekolah rendah. Pelajar asnaf yang tinggal di luar kawasan tidak ketinggalan menerima sumbangan ini dengan sumbangan telah disampaikan kepada mereka di rumah masing-masing. Lima (5) orang pelajar di Jelebu, sepuluh (10) orang pelajar di Port Dickson dan 50 orang pelajar di sekitar  Rembau telah menerima kunjungan dari YPM dan usahawan MARA Negeri Sembilan melalui Siri Jelajah Simfoni Ramadan dengan nilai keseluruhan sumbangan sebanyak RM5,000.00

Rural Capital Berhad (RCB) pula, melalui kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) berjaya mengenal pasti 30 keluarga asnaf di Seremban. Keluarga ini telah menerima sumbangan bernilai RM250.00 dengan wang tunai sebanyak RM200.00 berserta barang keperluan bernilai RM50.00. Setakat hari ini, 10 keluarga asnaf telah menerima sumbangan tersebut manakala baki 20 keluarga akan menerima melalui Jelajah Asnaf MARANS-RCB-MAINS.

En Zahrail Affenday, Pengarah MARA Negeri Sembilan, menyatakan melalui program seperti ini, MARA dapat membantu golongan sasar di samping mempromosikan perkhidmatan yang disediakan oleh MARA.  Program MARA Prihatin Ramadan tahun ini telah memberi manfaat kepada 234 orang penerima yang melibatkan sumbangan berjumlah RM27,900.00. Selain itu, kerjasama strategik MARA bersama anak syarikat MARA dan agensi kerajaan di Negeri Sembilan dapat diperkukuhkan untuk pelbagai program akan datang.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.