PENSYARAH KKTM KUANTAN GENGGAM EMAS DI EXHIBITION OF INVENTIONS GENEVA 2022

KUANTAN- Dua pensyarah Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Kuantan ungguli International Exhibition of Inventions Geneva 2022 yang diadakan secara dalam talian dengan memperoleh pingat emas dan produk yang dipertandingkan adalah flexible silkscreen printing table.

Menurut Ts Mohd Firdaus Mohd Noh, beliau bersama rakan sepasukannya, Noor Maizatulakma Kamaruddin menghasilkan Flexible Silkscreen Printing Table yang merupakan meja cetakan baju berasaskan silkscreen. Produk ini telah ditambah baik fungsinya daripada meja yang sedia ada kepada meja cetak yang lebih fleksibel. Reka bentuk meja yang boleh dilipat memudahkan kerja penyimpanan dan pemindahan serta boleh beroperasi dalam ruangan yang sempit

 “Selain itu, meja boleh dilaraskan ketinggian mengikut keselesaan pengguna. Kelebihan ini menjadikan produk boleh digunakan oleh semua peringkat umur dan golongan termasuk golongan OKU berkerusi roda. Boleh dibawa ke mana-mana sahaja seperti pameran dan karnival jualan,” jelas Firdaus.

Tambah Firdaus, Flexsilk boleh berfungsi secara dwioperasi iaitu melalui bateri atau sumber elektrik dan mampu mencetak empat helaian baju secara serentak pada masa sama.

Mengimbau penghasilan Flexsilk, Mohd Firdaus berkata, kerja-kerja pembangunan produk bermula dengan reka bentuk produk. Cabaran utama ialah mendapatkan reka bentuk yang terbaik dengan ciri-ciri serta fungsi yang ditetapkan. Beberapa konsep terpaksa melalui banyak ujikaji yang memerlukan proses yang lama. Sehingga kini produk flexsilk sudah melalui 5 jenis generasi reka bentuk.

“Cabaran kedua ialah untuk menghasilkan sebuah prototaip seperti yang dirancang, terdapat beberapa masalah seperti meja yang tidak stabil, bahan-bahan komponen yang tiada di pasaran dan komponen gagal berfungsi seperti yang dirancang.

Ts Firdaus (kiri) melakukan demonstrasi cetakan menggunakan Flexsilk

“Kami juga terpaksa bahagikan masa antara tugas hakiki dan tanggungjawab yang lain. Dari segi pertandingan, kami pun pernah gagal dan dikritik dalam pertandingan inovasi,”jelas Firdaus.

Walaupun berdepan masa yang terhad dan berbekalkan pengalaman yang sedikit, namun cabaran ini tidak menghalang mereka untuk dinobatkan sebagai pemenang pingat emas.

Beliau meletakkan harapan agar inovasi ciptaan mereka ini mendapat sambutan dan dapat membantu komuniti B40, OKU dan ibu tunggal menjana pendapatan.

Untuk rekod, antara kejayaan yang telah dimenangi melalui produk ini adalah pingat emas dalam International Eureka Innovation Competition 2018, Kulim Kedah, MARA Innovation Competition (MARATex 2019) – Project Harapan Award, pingat emas dalam IPEX Innovation 2020, Most Innovative Project Award, IPEX Innovation 2020, tempat pertama Anugerah Inovasi KPLB, pingat emas International Innovation Awards Malaysia Technology Expo, Special MTUN Award di International Innovation Awards Malaysia Technology Expo dan tempat pertama IRC Perkeso Competition 2021.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.