iNICE 2021 PLATFORM KKTM PETALING JAYA BANGUNKAN INOVASI IOT

Oleh : Salwa Mohd Sani

Petaling Jaya, 13 April 2022 – Dunia serba canggih yang dilingkari kemajuan sains dan teknologi terkini di samping pandemik COVID-19 telah membawa kita melangkah kepada penghasilan produk atau sistem yang lebih moden dan bermanfaat.

Kreativiti dan inovasi selari dengan era norma baharu memerlukan kita memanfaatkan secara optimum penggunaan teknologi ICT serta digitalisasi kerana kehidupan pada era digital dan komunikasi secara maya ini menuntut kita lebih bersedia untuk lebih kreatif ke arah pembangunan Internet Of Things (IOT).

Rentetan daripada itu, Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Petaling Jaya telah mengorak langkah dengan merealisasikan hasrat ini melalui penganjuran pertandingan Innovation & Competency Enrichment (iNICE) 2021 di kalangan pelajar institusi tersebut. Idea penganjuran ini hadir susulan pandemik COVID-19 yang secara tidak langsung telah menyebabkan pelajar tidak dapat mengikuti pengajian secara bersemuka.

Pengarah Bahagian Kemahiran dan Teknikal MARA, Ir. Nuriman bin Yusop berkata, iNICE yang julung kali dianjurkan ini merupakan ekspresi MARA dalam usaha mendedahkan pelajar kepada idea-idea inovasi sedia ada selain mengasah kemahiran serta kreativiti pelajar menghasilkan inovasi yang lebih baik.

“Program ini diharapkan dapat memberi suntikan semangat kepada para pelajar untuk berkarya dengan lebih kreatif dan berdaya saing sekaligus menghasilkan reka cipta berkualiti dan berinovasi”, ujar beliau.

Ir. Nuriman ditemui ketika hadir mewakili Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan MARA bagi merasmikan penutupan iNICE di KKTMPJ pada 07 April 2022  lepas. Dalam majlis tersebut, Ir. Nuriman turut berbesar hati menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang pertandingan yang diadakan.

Dalam pertandingan tersebut, seramai 80 orang pelajar KKTMPJ telah menyahut cabaran menyertai lapan kategori yang dipertandingkan antaranya Idea Pitching, Product Design, Dashboard, Drone, Robotic, Web Development, Mobile Apps dan Printed Circuit. Kesemua kategori yang dipertandingkan ini memerlukan peserta menjadi lebih aktif, kreatif, mempunyai daya tahan, daya imaginasi dan daya saing yang tinggi.

Menurut Ts. Mohd Nazif bin Mohd Baharuddin, penganjuran iNICE ini akan memberikan pengalaman berharga kepada para pelajar untuk mengasah kemahiran sedia ada di samping mengaplikasi kemahiran terkini.

“Kita bermula dengan program “Matang Sebelum Berbuah” di mana kita menggalakkan pelajar untuk belajar lebih advance daripada silibus yang diajar”, kata beliau.

“Dalam erti kata lain, kita akan mengajar pelajar semester satu menggunakan silibus yang lebih ke hadapan dan sepatutnya, hasilnya nanti mereka akan memperoleh pemikiran dan kemahiran yang lebih berkualiti”, tambah beliau lagi.

Ts. Mohd Nazif yang merupakan Pengarah KKTM Petaling Jaya turut memaklumkan perancangan penganjuran iNICE dalam skala yang lebih besar ke peringkat antarabangsa pada tahun 2023.

“Kita telah memulakan gerak kerja iNICE 2.0 dan mensasarkan penyertaan daripada pelajar-pelajar institusi pendidikan dalam dan luar negara. Apa yang membuatkan kami tambah bersemangat adalah penganjuran iNICE 2.0 ini akan mendapat kerjasama daripada Majlis Bandaran Petaling Jaya (MBPJ) bertujuan mendapatkan pengiktirafan daripada UNESCO”, ujar beliau.

Sebagai rekod, MARA sering menyertai pelbagai pertandingan inovasi dan berjaya memperoleh kejayaan yang membanggakan. Juvert Sooi contohnya, pelajar berusia 22 tahun Institut Kemahiran Mara (IKM) Kota Kinabalu Sabah telah memenangi Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri (MATEPM) dan terpilih mewakili negara dalam Pertandingan Worldskills Shanghai 2022.

Pada tahun 2021, MARA turut berjaya meraih enam (6) emas melalui The Union of Arab Academic Award TUOAA dan Malaysian Technical University Network) TVET International Innovation Award dan Sembilan (9) emas melalui Toronto International Society of Innovation & Advanced Skills (TISIAS), International Alliance of Innovation & Innovation (IAIA) dan Outstanding Award

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.