SM PREMIX SDN. BHD. MENERAJUI BISNES BAHAN BINAAN JALAN RAYA DI LANGKAWI

sm1

Oleh : Azlinah Hambali

Langkawi, 20 Mac 2022 – Menteri Pembangunan Luar Bandar, YB Dato’ Seri Mahdzir Khalid mengadakan sesi walkabout ke Syarikat SM PREMIX SDN. BHD. sekaligus menyempurnakan perasmian peniagaan tersebut.  SM PREMIX SDN. BHD. yang menjalankan perniagaan dalam bidang kejuruteraan jalan raya merupakan satu-satunya pembekal tar tunggal Bumiputera di Langkawi.

Mahdzir ketika ditemui pemberita berkata, kegigihan pemilik SM PREMIX dalam menceburi perniagaan yang jarang dipelopori oleh orang melayu ini sepatutnya menjadi contoh kepada usahawan kontraktor yang ingin menceburi bidang pembinaan ini.

Tambah beliau, “saya bangga apabila dimaklumkan pengusaha syarikat ini merupakan usahawan yang menerima manfaat kemudahan pembiayaan perniagaan dan geran pensijilan MARA.

“Ternyata ekosistem keusahawanan MARA yang lengkap merangkumi latihan, kemudahan pembiayaan dan khidmat nasihat dapat membantu usahawan mengembangkan perniagaan di samping meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan.”

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata beberapa pendekatan lain seperti pembangunan program-program khas dan kerjasama bersama pemain industri utama negara turut dilaksanakan bagi memantapkan lagi usahawan dalam bidang berkenaan.

Pengusaha SM PREMIX, Mohd Hasbullah Bin Salleh berkelulusan Diploma Kejuruteraan Awam, Politeknik Sultan Abdul Halim Jitra, Kedah yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam bidang kejuruteraan jalan raya telah memulakan operasi syarikat ini pada penghujung tahun 2019.

Perjalanan perniagaan SM PREMIX turut berhadapan dengan ketidaktentuan ekonomi negara lebih-lebih lagi apabila syarikat yang baru memulakan operasi terpaksa berhadapan dengan pandemik COVID 19 pada awal tahun 2020 serta arahan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut menjejaskan aliran tunai syarikat.

“Saya bersyukur dengan bantuan pembiayaan MARA operasi perniagaan menjadi bertambah baik dan pengeluaran bahan tar harian dapat ditingkatkan. Malahan tahun lalu, syarikat saya telah menerima geran BEST bagi tujuan pensijilan ISO9001:2012,” jelas Mohd Hasbullah.

Kini, syarikat ini telah berjaya mencapai nilai jualan tahunan syarikat sebanyak RM5 juta dengan pertambahan bilangan pekerja berjumlah 35 orang berbanding 17 orang sebelum menerima kemudahan MARA.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Pengarah MARA, YBhg. Dato’ Azhar bin Abdul Manaf, Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, YBhg. Dato’ Zulfikri Osman, Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA, YBhg. En Razlan Haji Samsuri, Pengerusi Mara Corporation Sdn Bhd, YB Senator Dato’ Wira Othman Hj Aziz, Pengurusan Dan Subsidiari MARA, Pengarah-Pengarah MARA Negeri, Ketua-Ketua Agensi KPLB, Ketua-Ketua Jabatan  Negeri Kedah dan Pemimpin Masyarakat serta penduduk setempat.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.