MARA ANJUR PERHIMPUNAN BULANAN KEMENTERIAN PEMBANGUNAN LUAR BANDAR

Oleh  : Azlinah Hambali

BANGI, 22 Februari 2022 – Menteri Pembangunan Luar Bandar, YB Dato’ Seri Mahdzir bin Khalid hadir ke Perhimpunan Bulanan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) di German-Malaysian Institute (GMI) bagi menyampaikan amanat beliau kepada warga kementerian dan semua agensi di bawahnya. Majlis perhimpunan bulanan tersebut telah dianjurkan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA), salah sebuah agensi di bawah KPLB .

Dalam ucapan beliau, YB Menteri merakamkan penghargaan kepada semua warga Kementerian yang telah memberi komitmen dan memainkan peranan yang sewajarnya terutamanya dalam menambah baik kesejahteraan masyarakat luar bandar dalam tempoh negara sedang melalui fasa pemulihan yang mencabar ini.

Majlis ini juga dihadiri oleh Yang Berhormat Dato’ Sri Haji Abdul Rahman bin Mohamad, Timbalan Menteri I Pembangunan Luar Bandar, Yang Berbahagia Dato’ Ramlan bin Harun, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Yang Berbahagia Dato’ Azhar bin Abdul Manaf, Ketua Pengarah MARA serta pegawai-pegawai Kementerian, Jabatan dan Agensi KPLB.

Tambahnya lagi, “Walaupun berhadapan dengan pelbagai kesukaran, saya mahu semua warga kerja menjalankan tugas dengan baik mengikut prosedur serta mengamalkan tadbir urus korporat yang baik dan menjunjung nilai-nilai integriti yang tinggi.

“Saya juga berbangga dengan pencapaian yang telah dicapai oleh warga Kementerian terutamanya dalam meningkatkan pencapaian institusi TVET MARA kerana saya difahamkan pelbagai kejayaan telah dicapai oleh mereka di peringkat antarabangsa.”

Melalui TVET MARA, Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Masjid Tanah, Melaka telah menerima Anugerah Platinum daripada Asia Pacific Accreditation and Certification Commission (APACC). Lebih membanggakan lagi, KKTM Masjid Tanah merupakan institusi TVET pertama dalam sejarah yang telah dianugerahkan Platinum oleh APACC di rantau Asia Pasifik.

Selain itu, kejayaan-kejayaan pelajar TVET MARA dalam International Skill Competition juga telah terbukti apabila mereka telah meraih beberapa kejayaan dalam bidang-bidang yang dipertandingkan.

“Usaha melatih dan mendidik mereka perlu dilipat gandakan bagi meningkatkan penglibatan belia terutamanya mereka yang berada di luar bandar untuk sama-sama menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan negara,” ujar Mahdzir.

Pada majlis tersebut, Mahdzir turut mengumumkan salah sebuah institusi milik MARA telah di naik taraf sebagi sebuah universiti.

“Saya juga bangga untuk mengumumkan bahawa hari ini Kolej Universiti Poly-Tech MARA telah di naik taraf sebagai Universiti Poly-Tech MARA (UPTM). Pengiktirafan ini membuktikan sistem dan kualiti pendidikan kita telah mencapai penanda aras yang bagus dan setanding dengan universiti tempatan yang lain,” jelas Mahdzir.

Di samping itu, bagi menambah prasarana pendidikan di bawah Kementerian ini, sebanyak tujuh (7) buah MRSM baharu bakal dibina dengan melibatkan kapasiti penambahan pengambilan pelajar di Ranau, Sabah, Bintulu, Lawas, Sarawak, Ketereh dan Tanah Merah, Kelantan serta Dungun, Terengganu.

MARA turut membina dua (2) buah pusat GIATMARA di Limbang dan Batang Lupar, Sarawak dan penambahan dua (2) buah kampus baharu Kolej Profesional MARA di Beaufort, Sabah dan sebuah lagi di Kapit, Sarawak bagi membuka peluang kepada golongan belia dan lepasan sekolah untuk memiliki kemahiran dan melanjutkan pelajaran.

Usaha yang sama juga telah dilaksanakan bagi meningkatkan ekonomi masyarakat Bumiputera terutamanya mereka yang berada di luar bandar. Pelbagai kemudahan dan program disediakan bagi menangani masalah yang dihadapi usahawan bimbingan MARA dalam konteks pasca pandemik COVID-19 adalah Latihan Keusahawanan.

“Latihan Keusahawanan ini akan memberi fokus kepada pemasaran melalui e-commerce, pendigitalan perniagaan, pensijilan dan pemasaran ke peringkat antarabangsa (Gate to Global),” ujar Mahdzir.

Dalam majlis yang sama, YB Menteri telah menyampaikan Sijil Profesional yang diiktiraf di peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa kepada pegawai MARA yang telah lulus ujian bagi Certified In Quantitative Risk Management (CQRM), Certified Information Security Management System Auditor (CISMSA), Sijil Jurutera Profesional (Ir) dan pegawai yang telah berjaya menamatkan pengajian mereka di peringkat Doktor Falsafah (PHD).

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.