TVET MARA LAHIRKAN TEKNOUSAHAWAN ELEKTRIK MOBILE

LUMUT – Selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030, TVET menjadi pemboleh daya yang dapat menyumbang ke arah pembentukan negara membangun yang makmur dan inklusif. TVET yang dahulu hanya dianggap pendidikan pilihan kedua, kini semakin menjadi sebutan dan rebutan kepada lepasan SPM untuk melanjutkan pelajaran dan juga industri.    

Menurut Mohd Yusoff Mat Saad, Ketua Jabatan Elektrik Institut Kemahiran MARA (IKM) Lumut berkata, Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), MARA-Japan Industrial Institute (MJII) dan Institut Kemahiran MARA (IKM) menunjukkan kadar kebolehpasaran pelajar melebihi 90%. Maka tidak hairanlah, lepasan TVET sentiasa menjadi rebutan industri, melanjutkan pelajaran serta menjadi teknousahawan berjaya.      

MARA telah memperkenalkan Program Mobile Technical Services (MTS) pada tahun 2016 melalui Bahagian Kemahiran Teknikal (BKT) dan KKTM/MJII/IKM bagi memberi peluang serta laluan kepada pelajar yang memiliki semangat dan keyakinan diri untuk menjadi teknousahawan berjaya.

“KKTM, MJII dan IKM telah menjadi peneraju dalam meneroka bidang pendidikan TVET serta melahirkan teknousahawan berjaya melalui program yang ditawarkan. Kejayaan program ini dapat dilihat apabila mereka dapat menghasilkan teknousahawan yang mempunyai nilai jualan menghampiri RM 1 juta semasa pengajian.

“Kejayaan MARA dalam pembangunan teknousahawan ini harus dipuji, terutama melalui program Mobile Technical Servi­ces (MTS) yang mana penuntut didedahkan dunia keusahawanan sebenar dengan memasarkan perkhidmatan teknikal di lokasi masing-masing”, jelas Yusof.

Antara bidang yang ditawarkan kepada orang ramai adalah elektrik dan elektronik, penyaman udara, automotif, pembuatan perabot, kejuruteraan am, pembinaan dan penyelenggaraan mesin.

Tambah Yusof, sejak pembukaan IKM Lumut pada tahun 1977, Kursus Elektrik telah mula ditawarkan bersama beberapa kursus lain seperti Kimpalan dan Pembuatan, dengan pengambilan pertama seramai 15 orang. Kini IKM Lumut setelah 44 tahun telah mengeluarkan graduan elektrikal yang memiliki kompetensi Penjaga Jentera dan Pendawai melebihi 3500 orang.

IKM Lumut juga telah menjalankan program teknousahawan dalam pelbagai bidang sejak 2006 lagi sehingga kini yang melibatkan lebih 160 peserta dikalangan lepasan graduan yang terpilih. Perancangan IKM Lumut adalah untuk melahirkan lebih ramai lagi teknousahawan yang dinamik yang menjadikan IKM Lumut sebagai Hub Teknousahawan Digital dan penyumbang GIG Ekonomi di negeri Perak. Mencapai jualan melebihi RM200,000 dalam tempoh setahun serta membuka bengkel sendiri selepas menyertai program Teknousahawan IKM Lumut, merupakan antara kejayaan yang pernah dilakar.

Sementara itu, Safri Aris Safrizan, Pengarah Cahaya Ilas Resources yang juga pelajar tahun akhir Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Kuasa) Penjaga Jentera A1 IKM Lumut adalah antara pelajar TVET yang telah bergelar teknousahawan dan berjaya membuka syarikat sendiri ketika masih belajar.

“Syarikat ini sebenarnya ditubuhkan dengan bantuan pensyarah IKM Lumut dan turut diterajui bersama oleh tiga lagi peserta MTS. Sambil belajar, kami terus mengaplikasikan ilmu yang dipelajari.

“Pengalaman yang tak dapat dilupakan apabila kami mengendalikan projek terbesar kami iaitu Projek Masyarakat Suruhanjaya Tenaga Kawasan, ‘rewiring’ 8 buah rumah di Beruas, Perak yang mengambil masa hampir sebulan untuk disiapkan”, kata Safri.

Safri turut menyarankan agar Ibu bapa memberi peluang dan menggalakkan anak-anak menceburi bidang TVET yang banyak membuka peluang pekerjaan dan juga platform perniagaan dengan menjadi teknousahawan seperti beliau. Bidang keusahawanan turut menjanjikan pulangan atau pendapatan yang tinggi di samping dapat meningkatkan ekonomi dan pegangan ekuiti Bumiputera.

Untuk rekod, tahun 2021 merupakan tahun gemilang bagi Jabatan Elektrik IKM Lumut kerana telah diumumkan sebagai Penerima Anugerah Platinum, Product Safety Award (PSA 2021) anjuran Suruhanjaya Tenaga di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli. Anugerah ini telah mengetengahkan IKM Lumut sebagai pusat bertauliah Suruhanjaya Tenaga elektrik yang telah mengatasi pusat-pusat TVET lain di Malaysia yang menawarkan program kompetensi dalam bidang yang sama. Kini IKM Lumut adalah pusat bertauliah Suruhanjaya Tenaga bagi Modul Talian Atas Voltan Rendah, Modul Janakuasa Segerak Voltan Rendah, Pendawai Elektrik PW2, PW4, Penjaga Jentera Elektrik A0, A1 dan A4.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.