Nor Ulfahtin Raih Kecemerlangan Dalam Seni & Reka Bentuk Di Pratt Institute, Amerika Syarikat

Kuala Lumpur, 9 Februari 2022 – Kejayaan yang dilakar dengan sebuah minat mendalam membuahkan hasil yang membanggakan apabila Nor Ulfahtin Mohd Hanif, 24, dinobatkan sebagai penerima Excellence in Academic Award for Undergraduate Interior Design serta mendapat Highest Honors di 2021 Honors Convocation Ceremony dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.875 di Pratt Institute, Amerika Syarikat.

Ulfahtin adalah anak kelahiran Johor dan merupakan salah seorang daripada 3 penerima dari Pratt Institute yang terpilih, malah hanya beliau sahaja pelajar Malaysia yang mendapat pengiktirafan tersebut.

“Saya adalah pelajar accounting di MRSM Tun Ghafar Baba pada tahun 2010 hingga 2014, namun saya memilih untuk meneruskan pengajian dalam bidang yang berbeza iaitu Interior Design demi mengejar minat saya.

“Saya berada dalam MARA American Degree Preparatory Programme di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Ledang sebelum saya dihantar ke Lane Community College selama setahun di Eugene, Oregon, USA.

“Setelah itu, saya memilih ke New York demi mengejar cita-cita untuk berada di institusi tersohor dalam Arts & Design di sana. Di Lane, saya membina portfolio seni saya dan diterima masuk ke Pratt Institute menggunakan portfolio berkenaan pada tahun 2017,” katanya.

Beliau memilih bidang ini kerana percaya bahawa belajar Interior Design (ID) tidak susah hingga tidak merasakan beban walaupun banyak kerja perlu dihasilkan. 

“Keluarga dan rakan-rakan adalah antara individu yang memberi sokongan dan motivasi buat saya. Semua orang suka reka bentuk yang bermanfaat, cantik dan unik, setiap hari saya tak sabar nak hasilkan rekaan semata-mata untuk melihat orang sekeliling saya gembira,” kata Ulfahtin dengan gembira.

Antara sumbangan beliau sepanjang menjalankan pengajian di sana ialah menjadi designer pelbagai jenis ruang untuk komuniti di New York termasuk perpustakaan di Brooklyn Public Library, rumah mewah tiga tingkat untuk keluarga berbangsa Cina di Brooklyn dan ruang komuniti di Lowline yang terletak di Lower East Side Manhattan.

“Untuk tesis projek saya, saya membuat rekaan bercirikan batik untuk menggalakkan rakyat Malaysia dan pelancong asing lebih mengetahui tentang batik di sebuah pusat membeli belah Kuala Lumpur.

“Projek saya juga membuka peluang kepada pengunjung untuk mencuba dan membuat batik mereka sendiri dan pada masa yang sama menyaksikan proses pembuatan batik sehingga akhir,” ulas beliau dengan penuh bersemangat.

Beliau turut menyatakan perasaan syukur apabila menjadi sebahagian anak MARA hingga melakar kejayaan di luar negara. Kini, Ulfahtin sedang bekerja sebagai Pereka Bentuk Dalaman di firma Brooklyn, Amerika Syarikat.

“Pihak MARA sangat menyokong perjalanan pendidikan saya bermula di MRSM, KKTM Ledang hinggalah ke Community College kemudian Pratt. MARA adalah antara agensi yang menyediakan scholarship programme yang menyokong creative field sama level seperti bidang STEM,” katanya lagi.

Nor Ulfahtin turut berharap agar dapat pulang ke tanah air untuk membuka bidang perniagaan sebagai Interior Designer di bawah perusahaannya sendiri sebagai satu sumbangan membalas jasa buat rakyat dan negara.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.