Rezeki Bidang Fesyen

KUALA LUMPUR – “Saya mengimpikan untuk menjadi pereka fesyen sejak kecil. Memang teringin sangat nak pakai pakaian yang cantik-cantik seperti yang saya lihat di kaca TV atau majalah. Memang rezeki saya dalam bidang fesyen,” kata Azura Shafawi, 42.

Menurut Azura, melalui lukisan dan contengan rekaan pakaian pada buku-buka nota semasa di bangku sekolah memberikan kepuasan yang tidak terhingga buat beliau.

“Dapat menterjemahkan imaginasi rekaan saya kepada produk yang real merupakan satu kepuasan. Lebih-lebih lagi apabila rekaan kita disukai dan mendapat sambutan.

“Secara tidak langsung telah mendorong saya untuk terus mencuba mengeluarkan koleksi di bawah jenama saya sendiri, walau secara kecil-kecilan. Dari titik itu bermulalah sejarah saya sebagai seorang pereka,”jelas beliau.

Rekaan pertama yang beliau hasilkan adalah Kurung Pahang yang mana potongannya dimodifikasi mengikut citarasanya sendiri.
Tanpa disangka, ia mendapat maklumbalas yang positif dari teman-teman sepejabat dan kenalan terdekat.

“Sejak itu, saya cuba menghasilkan koleksi Kurung Pahang ini dengan mengunakan pelbagai fabrik yang sesuai untuk wanita berkerjaya seperti saya.

“Penubuhan UMMIRIAZ INTERNATIONAL pada tahun 2013 adalah terhasil daripada saingan daripada pelbagai jenama baharu yang mula menerokai pasaran Malaysia bagaikan cendawan tumbuh.

“Saya telah membangunkan jenama UMMIRIAZ INTERNATIONAL dengan menfokuskan kepada pasaran yang baharu dan khusus bagi pasaran sopan atau modest fashion antarabangsa,’’tambah Azura.

Beliau berkongsi, antara agensi yang banyak bantu perniagaannya menembusi pasaran antarabangsa adalah MARA yang telah menyokong dan membawa jenama beliau untuk menyertai pertunjukan fesyen di LONDON MODEST FASHION WEEK 2017.

Menerusi penglibatan dan kemunculan UMMIRIAZ di pentas sebegini, sekaligus telah memperkenalkan jenama UMMIRIAZ sebagai sebuah jenama pakaian MODEST bertaraf antarabangsa dan turut mendapat liputan media fesyen antarabangsa seperti Emirates Women, Subvrt Magazine New York, Global Islamic Economy Gateway, Nona Malaysia, Hijabista Malaysia, Hijab&Heels Malaysia, Pinker Moda Amsterdam dan banyak lagi.

CABARAN COVID-19

“Alhamdullillah, di saat COVID berlaku, perniagaan tetap dapat dijalankan kerana kami telah memilih untuk beroperasi secara online di pelbagai platform media sosial sejak tahun 2017 yang lalu.

Cabarannya adalah content atau pengisian yang macam mana perlu dihasilkan agar dapat menarik minat pelanggan.

“Saya amat berbesar hati apabila ditawarkan untuk mengikuti Kursus Digital Marketing Master Class, Program MARA In Fashion (MIF) 2021 anjuran Bahagian Pembangunan Usahawan MARA. Rezeki saya dapat belajar media tools yang baharu untuk melonjakkan hasil jualan.

“Tik Tok sudah menjadi trend bagi usahawan masa kini dan melalui kursus ini saya berjaya mencipta video Tik Tok,”kata Azura lagi yang juga merupakan pesert MIF yang pertama sejak dibangunkan pada tahun 2016.

Azura bersyukur menjadi sebahagian pemain dalam industri fesyen di Malaysia dan sebagai seorang pereka pastinya beliau ingin melihat industri fesyen Malaysia terus berkembang kukuh dan gah di mata dunia.

Azura menegaskan MARA mampu menjadi sebuah agensi yang diiktiraf dan disegani bahkan menjadi platform untuk mengetengahkan lagi lebih ramai pereka-pereka Malaysia ke pentas fesyen antarabangsa.

Beliau yakin MARA sudah merencana pelbagai program dan platform demi memastikan industri ini terus kekal dan bertahan dalam keadaan pasaran ekonomi yang kurang baik dan kejatuhan matawang terutamanya di saat-saat seperti ini.

 

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.