Penubuhan CWAL Sokong Agenda Nasional

Oleh: Azlinah Hambali

KUALA LUMPUR,  26 Jan 2022 – Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menubuhkan Centre for Women Advancement & Leadership (CWAL) sejajar dengan seruan kerajaan dalam mempelbagaikan usaha dan inisiatif bagi memperkasakan wanita dalam bidang-bidang profesional berbentuk HTVET dan bidang-bidang yang akan memacu wanita ke arah golongan berpendapatan tinggi pada masa hadapan.

Pengerusi MARA, YB Datuk Seri Panglima Hajah Azizah Mohd Dun berkata, “Penubuhan CWAL sebagai pusat kecemerlangan adalah fokus dalam mempromosikan idea baharu dan inovatif, melaksanakan inisiatif yang memberi impak dan mewujudkan jaringan di peringkat tinggi.

“Ianya juga berperanan untuk memberi akses kepada wanita ke arah memperkasakan diri mereka dalam konteks kemajuan sosio-ekonomi di peringkat tempatan dan antarabangsa,” jelas Azizah pada Majlis Perasmian pusat tersebut semalam.

Tambah beliau, “CWAL juga berperanan sebagai medium bagi para penyelidik, ahli akademik dari pelbagai institusi penyelidikan dan institusi pengajian tinggi serta industri bergabung tenaga dan intelektual untuk menjalankan kajian dan penyelidikan berkaitan dasar, isu dan cabaran yang melibatkan pembangunan golongan wanita”.

“Selain menjadi cabang penjanaan pendapatan untuk UniKL dengan memanfaatkan projek berimpak tinggi di peringkat nasional dan antarabangsa, CWAL turut berfungsi sebagai sebuah pusat latihan untuk program pembinaan kapasiti berkaitan wanita di samping menjadi platform untuk gologan ini mencapai kejayaan,” ujar Azizah.

Program sasaran khusus akan dianjurkan untuk menghubungkan kumpulan sasar kepada inisiatif yang berkaitan bagi tujuan perubahan minda, peningkatan kemahiran dan kemajuan.

Pada majlis yang sama, Azizah turut menyerahkan watikah lantikan kepada 23 orang Ketua Kluster Wanita yang mengetuai pelbagai kepakaran, berpengalaman luas serta berkhidmat di sektor kerajaan, korporat, akademik dan industri. Mereka juga menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap pemerkasaan wanita dalam bidang masing-masing.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah YBhg. Dato’ Zulfikri Osman, Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, YBhg. Dato’ Suhaili Abdul Rahman, Pengarah Eksekutif MARA Corporation Sdn. Bhd,YBhg. Prof. Emeritus Datuk Dr. Sukiman Sarmani, Pengerusi UniKL dan YBhg. Datuk Dr. Roziah Omar, Presiden UniKL.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.