AMANAT TAHUN 2022 – MARA TUMPU PULIH SOSIO – EKONOMI BUMIPUTERA

Oleh : Ierwan Ismail

BANGI, 20 Januari 2022 : Pengerusi MARA, Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun menjelaskan tumpuan MARA kini semestinya untuk membantu kerajaan memulihkan semula setiap segmen sosio-ekonomi negara khususnya kepada kelompok Bumiputera.

“Atas iltizam tersebut, dengan bertemakan “Kekal Teguh Kita Bersama, Mendepani Cabaran Mengharungi Masa Hadapan”, MARA akan terus istiqamah dalam memastikan masyarakat Bumiputera di negara ini kekal terbela.

“MARA perlu terus cemerlang melakar kejayaan dalam menggalakkan pembangunan ekonomi dan sosial masyarakat Bumiputera khususnya di kawasan luar bandar.

“Sorotan kejayaan MARA memberikan refleksi kepercayaan kerajaan terhadap MARA dengan memberi sokongan penuh menerusi penyediaan peruntukan pembangunan, pendidikan, keusahawanan serta aktiviti-aktiviti pelaburan di bawah ekosistem yang komprehensif ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Amanat Tahun Baharu 2022 MARA di Dewan Auditorium, Kolej Poly-Tech MARA Bangi pada 19 Januari 2022.

Tambah Azizah lagi, pada tahun 2022 ini hala tuju strategik MARA perlu ‘out of the box’ dalam perancangan dan pelaksanaan. Jangan takut untuk berfikir lebih kreatif dan kritis tentang apa jua yang dilakukan.

“Peningkatan dalam pencapaian program yang dilaksanakan memberi gambaran bahawa MARA berkemampuan mengurus cabaran dan kekangan yang dihadapi bagi melaksanakan peranannya dengan efisien dan berkesan.

“Saya menyeru kepada seluruh alumni dan penerima kemudahan agar menyumbang semula perkhidmatan kepada pihak Kerajaan melalui MARA dengan menyediakan kepakaran-kepakaran khusus untuk dikongsi bersama dalam agenda membangunkan bangsa Bumiputera,” jelasnya.

Dalam majlis tersebut juga, Azizah turut melancarkan Buku Pelan Strategik Pendigitalan (PSP) MARA 2021 -2025 dan Buku Digital ‘MARA Education Pathways’.

Sementara itu dalam majlis yang sama, Ketua Pengarah MARA, Dato’ Azhar Abdul Manaf mengingatkan warga MARA agar sentiasa memperkukuhkan integriti dalam melaksanakan tugas sebagai seorang penjawat awam.

“Integriti dan akauntabiliti sentiasa dinilai. Kita sebagai warga kerja MARA bukan setakat perlu berintegriti tetapi kita harus dilihat bersih oleh masyarakat.

“Jangan sesekali meminta habuan atas segala bantuan dan khidmat bakti yang telah diberikan kepada masyarakat,” tegasnya.

Selain menekankan tentang integriti, Azhar turut mengajak warga kerja MARA bekerja bersungguh-sungguh serta sentiasa bersemangat bagi memastikan apa yang dirancang tercapai.

Di akhir majlis, Azhar berkesempatan melancarkan ‘MARA Talent Management Programme (TMP) serta ‘Chatbox MARA Edu Loan Interactive Assistant (MELINA) yang bakal memberikan manfaat kepada lepasan sekolah dan universiti mendapatkan informasi berkenaan permohonan pinjaman pendidikan MARA.

Turut hadir, Ahli Majlis MARA, Tuan Haji Zainal Abidin Kidam, Ahli Pengurusan dan Subsidiari MARA, Pengarah-Pengarah MARA Negeri serta Pengawal Pusat Pentadbiran MARA Wilayah Persekutuan, Selangor dan Negeri Sembilan.

Majlis yang berlangsung semalam turut disiarkan secara langsung melalui platform ‘zoom’ dan disertai secara dalam talian oleh pusat pentadbiran MARA dalam dan luar negara.

This entry was posted in Korporat, Lain-Lain. Bookmark the permalink.