MARA Salur RM 45.9 Juta Dana Pembiayaan Kepada Usahawan Sabah

YB Datuk Seri Panglima Hajah Azizah, Pengerusi MARA, hadir menyempurnakan Program Outreach di Arked MARA, Sipitang, Sabah

Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah meluluskan sebanyak RM 45.9 juta melalui pelbagai Skim Kemudahan Pembiayaan Perniagaan MARA melibatkan seramai 587 orang usahawan di negeri ini sepanjang tahun lalu.

Pengerusi MARA, YB Datuk Seri Panglima Hajah Azizah Mohd Dun berkata, dana tersebut meliputi pembiayaan MARA seperti Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (SpiKE), Skim Pembiayaan Mudah Jaya (SpiM), Skim Pembiayaan Prihatin Mikro (S3P) dan  Skim Pembiayaan DanaNITA.

”MARA fokus dalam membantu usahawan untuk bangkit semula meneruskan kelangsungan perniagaan selepas terjejas akibat pandemik COVID-19 dengan kemudahan keusahawanan yang bersifat menyeluruh bukan sahaja dari sudut pembiayaan tetapi juga latihan, promosi produk, peningkatan imej premis serta moratorium penangguhan bayaran balik pembiayaan dan pengecualian sewa premis.

“Malahan, MARA juga telah meluluskan pemberian moratorium pembiayaan selama tiga bulan bermula Julai – September 2021 kepada 528 orang usahawan di negeri ini dengan implikasi kewangan lebih daripada RM700 ribubagi meringankan beban mereka yang terkesan,”ujarnya.

Azizah hari ini hadir ke Program Outreach MARA Sabah 2022 yang diadakan di Arked MARA Sipitang. Turut hadir ke program tersebut, Pengarah MARA Negeri Sabah, Dr.Shahrizin bin Hj Abdul Sharhadat.

Majlis yang diadakan pada 15 Januari 2022, Azizah sempat beramah mesra disamping mendapatkan pandangan serta maklumbalas daripada komuniti usahawan bentuk bantuan lain yang diperlukan. Beliau turut menyampaikan sumbangan serta bantuan peralatan sekolah kepada 80 orang pelajar sekolah yang terpilih di daerah tersebut.

Untuk rekod, MARA telah meluluskan sebanyak RM 480.7 juta untuk pelbagai skim Pembiayaan yang memberi manfaat kepada seramai 6,185 usahawan seluruh negara pada tahun 2021.

Antara pameran produk usahawan MARA di Arked MARA, Sipitang, Sabah dalam program yang sama
This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.