Sukarelawan GMI Baikpulih Barangan Elektronik di Kampung Bukit Changgang, Banting

Kuala Lumpur, 10 Januari 2022 – Seramai 28 orang kakitangan dan pelajar dari German-Malaysian Institute (GMI) menyantuni mangsa-mangsa banjir di daerah Kampung Bukit Changgang, Banting. Peringkat pertengahan dalam bantuan banjir merupakan proses membaikpulih barangan elektrik dan sistem pendawaian elektrik rosak akibat banjir tempoh hari. 

Kumpulan sukarelawan ini yang terdiri daripada kakitangan pelbagai peringkat di jabatan teknikal telah bertumpu di kawasan masjid, rumah-rumah mangsa, tadika serta dewan orang ramai di Kampung Bukit Changgang. Program ini juga merupakan satu program kerjasama pihak KEMAS, pihak Bahagian Pemantauan dan Inspektorat (BPIN) MARA dan GMI.

Menurut Pengarah Urusan GMI, Prof. Ir Dr. Azmi Hassan, “Inisiatif membaikpulih peralatan elektrik di masjid, rumah-rumah, dewan JKKK serta tadika merupakan satu sumbangan yang besar.”

Encik Fitri Jasni, Penyelaras Program Proses Instrumentasi dan Kawalan, telah mengetuai program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) ini dibantu oleh kakitangan teknikal. Di antara peralatan yang dibaikpulih adalah sistem siar raya (PA system) serta sistem pendawaian elektrik yang musnah akibat banjir.  PA system tersebut berharga lebih daripada RM100,000.


“Proses pembersihan dan baikpulih di masjid memberi satu kelegaan kepada semua penduduk di mana masjid telah dapat digunakan semula untuk solat Asar pada hari yang sama” jelas Fitri.

Turut hadir dalam program ini ialah Pengarah Urusan GMI, Prof. Ir Dr Azmi Hassan, Ts. Dr Muhamad Farid Daud, Timbalan Pengarah Urusan GMI (Akademik dan Operasi) dan Ts. Fahrul Rizal A.Halim, yang menjalankan tugas Timbalan Pengarah Urusan (Khidmat Korporat).

Diharapkan agar usaha murni seperti ini dapat meringankan beban penduduk-penduduk di kawasan yang terjejas dan pada masa yang sama memberi semangat kepada mereka dalam usaha meneruskan kehidupan selepas kejadian banjir kilat terburuk yang melanda negara pada 18 Disember 2021.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.