MARA PRIHATIN, BAIK PULIH KENDERAAN TENGGELAM BANJIR TANPA CAJ

Pelajar IKM TSYA sedang membaik pulih kenderaan mangsa banjir

KUANTAN – Seramai 24 penuntut Institut Kemahiran MARA Tan Sri Yahaya Ahmad (IKMTSYA), Pekan tampil membaik pulih kenderaan yang rosak ditenggelami air di Taman Seri Inderapura secara percuma.

Menurut penyelaras program, Jailani Sumadi berkata, program itu diadakan bermula 21 hingga 23 Disember yang lalu membabitkan penuntut tahun dua Diploma Teknologi Automotif serta dibantu beberapa pensyarah yang berpengalaman luas dalam bidang berkenaan.

“Sebanyak 120 kereta dan 30 buah motorsikal berjaya dibaiki. Kami akan menukar minyak enjin, oil filter dan spark plug secara percuma, namun sekiranya alat ganti yang lebih mahal kami minta pemilik untuk mendapatkannya sendiri.

“Apa yang penting tiada caj atau upah dikenakan pada semua kenderaan yang dibaiki,”kata Jailani.

Tambah beliau, lima tahun lalu program berkenaan diadakan di Kemaman, Terengganu selepas daerah terbabit dilanda banjir besar.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Taman Inderapura, Haji Idris Abu Bakar berkata, beliau berterima kasih atas bantuan penuntut dan pengurusan IKMTSYA itu.

“Kereta saya ditenggelami banjir dengan paras air lebih satu meter. Kejadian ini tidak dijangka sama sekali.

“Air yang naik terlalu cepat menyebabkan ada penduduk tidak sempat mengalihkan kenderaan mereka ke tempat lebih tinggi.

“Semua penduduk menzahirkan rasa terima kasih atas keprihatinan semua pihak terutama dari Institut Kemahiran MARA (IKM). Kami dapat menarik nafas lega sekurang-kurangnya kenderaan kami sudah boleh digunakan semula,”jelas Idris.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.