MARA PRIHATIN WARGA KERJA TERKESAN BANJIR

Disediakan oleh : Ziela Amin

Rumah salah seorang staf Pejabat MARA Negeri Pahang yang ditenggelami air

KUALA LUMPUR- MARA telah mengambil langkah proaktif dengan menyalurkan bantuan bagi menyantuni warga kerja yang terjejas akibat bencana banjir yang telah melanda beberapa negeri di seluruh negara sejak 19 Disember yang lalu.

Perkhidmatan dan bantuan yang telah digerakkan adalah pembersihan pasca banjir di institusi pendidikan dan rumah warga kerja yang terjejas serta bantuan bakul makanan dan wang tunai.
Inisiatif MARA Prihatin bertujuan meringankan beban serta menjaga kebajikan warga kerjanya. MARA sentiasa bersiap siaga untuk menghulurkan bantuan dalam pelbagai bentuk pasca banjir di kawasan-kawasan yang terkesan seluruh negara.

Hujan lebat yang berterusan telah menyebabkan beberapa buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Johor dan Wilayah Persekutuan ditenggelami air. Ramai yang terkandas, rumah dinaiki air dan kenderaan juga rosak akibat ditenggelami air.

Haji Soffian (tengah) menyampaikan bantuan kepada Noradilla

Sebagai tanda solidariti dan kebersamaan, Pejabat MARA Negeri (PMN) di negeri-negeri yang terjejas dan Subsidiari MARA telah turun padang menyalurkan bantuan serta-merta berupa wang tunai, makanan serta keperluan asas.

Menurut Pengarah MARA Negeri Pahang, Haji Soffian Mustafa, antara kawasan yang terkesan adalah Indera Sempurna, Bukit Rangin, Pandan, Sungai Soi, Paya Besar, Sungai Isap, Sungai Lembing, Temerloh, Bentong dan Lipis.

“Diharapkan bantuan ini dapat meringankan beban mangsa banjir sekaligus memberikan sokongan kepada mereka untuk menghadapi pasca banjir.

Sementara itu, mangsa banjir yang juga merupakan staf PMN Pahang, Noradilla Shamsudin berkata beliau amat bersyukur dan terharu dengan bantuan yang pantas daripada pihak MARA Pahang.

“Alhamdulillah kami hadapi ujian ini dengan hati terbuka. Terima kasih atas kprihatinan semua pihak,”ujar Noradilla.

Turut terkesan, pelajar KPTM Kuantan dan Kolej MARA Banting. Pihak MARA mengambil tanggungjawab penuh dalam memastikan keadaan pelajar adalah selamat. Keperluan seperti makanan dan minuman buat pelajar adalah mencukupi dan diurus baik oleh pihak institusi tersebut.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.