PERUNTUKAN RM10 JUTA DISALUR BAGI PEMBINAAN PROJEK GIATMARA LIMBANG

Majlis Pecah Tanah pembinaan GIATMARA di Limbang disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Mahdzir Bin Khalid, Menteri Pembangunan Luar Bandar

Oleh : Azimah Nasruddin

LIMBANG, 13 Dis – YB Dato’ Seri Mahdzir Bin Khalid, Menteri Pembangunan Luar Bandar telah menyempurnakan Majlis Pecah Tanah bagi cadangan pembinaan GIATMARA di Limbang.

Menurut Dato’ Seri Mahdzir,”Sebanyak RM10 juta diperuntukkan untuk projek GIATMARA Limbang di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11  Roling Plan ke-4). Kos ini termasuk pembinaan bangunan baharu, pembelian peralatan serta perabot dan keperluan operasi.”

“Sudah tiba masanya untuk GIATMARA Limbang beroperasi di bangunan sendiri bagi menampung bilangan pelajar yang semakin meningkat. Kita juga mahu para pelatih menjalani proses pembelajaran dalam suasana yang lebih selesa dan kondusif,” kata Mahdzir.

Sebelum ini GIATMARA Limbang beroperasi di Bangunan Pejabat Residen Lama Limbang bermula dari Tahun 2011 dengan menawarkan kursus Teknologi Fabrikasi & Kimpalan Logam, Teknologi Penyejukbekuan & Penyaman Udara serta kursus baharu Solekan & Terapi Kecantikan.

Tambahnya lagi, GIATMARA adalah Institusi Pendidikan yang menyediakan latihan kemahiran dan vokasional  kepada penduduk setempat  di peringkat sijil dalam jangka masa pendek dari 6 hingga 24 bulan. 

Sehingga kini, terdapat 30 buah pusat GIATMARA di Sarawak yang sedang beroperasi dan bagi tahun 2021 sejumlah 750 pelatih telah mengikuti latihan dalam pelbagai bidang pilihan masing-masing. GIATMARA di Sarawak terbahagi kepada tiga kategori iaitu Kategori Bandar (10 buah), Separa Bandar (10 buah) dan Luar Bandar (10 buah).

Pada majlis sama, YB Menteri turut menyampaikan watikah dan bakul makanan kepada 19  penerima bantuan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Bina Baharu, 20 penerima Program Peningkatan Pendapatan (PPP-KPLB) dan penyampaian Sijil Tamat Latihan kepada 50 peserta Program Long Life Learning (3L)  daerah Limbang.

Turut diraikan, 15 pelajar B40 yang menerima Alat Bantu Pembelajaran Tablet/Alat Peranti Elektronik sumbangan Yayasan Pelajaran MARA (YPM), dan 15 penerima sumbangan Wang Tunai dan Bakul Makanan di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Rural Capital Berhad.

Majlis ini juga dihadiri oleh YB Datuk Haji Hasbi bin Haji Habibollah, Timbalan Menteri KPLB, pemimpin negeri, Ketua Agensi Pentadbiran Daerah, Ketua dan Pemimpin Masyarakat serta penduduk setempat.

TAMAT-

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.