KPLB BANTU TINGKAT PENDAPATAN PENDUDUK LAWAS

Oleh : Azlinah Hambali

Lawas, 12 Disember –  Menteri Pembangunan Luar Bandar,  YB Dato’ Seri Mahdzir Bin Khalid hadir ke penyerahan bantuan Program Peningkatan Pendapatan (PPP) dan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Waterfront Awat-Awat, Lawas kepada penduduk yang terjejas akibat Covid-19 terutamanya dari kalangan B40 di luar bandar.

YB Dato’ Seri Mahdzir Bin Khalid hadir ke penyerahan bantuan yang disediakan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB)

Menurut Mahdzir, “Bantuan yang disediakan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) adalah fokus dalam membantu  usahawan yang terlibat dalam projek ekonomi berasaskan perkhidmatan seperti perniagaan kecil-kecilan, perusahaan sumber asas tani, perikanan/penternakan dan pertanian”.

YB Dato’ Seri Mahdzir Bin Khalid hadir (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan enjin bot sangkut.

Pada majlis tersebut YB Menteri menyerahkan sumbangan bernilai RM10,000 kepada seramai 30 orang penerima bantuan enjin bot sangkut bagi membantu penduduk meningkatkan sumber pendapatan melalui hasil perikanan.

“Kita mahu penerima bantuan ini menjana pendapatan dengan mencari hasil laut dan meluaskan perniagaan bagi tujuan menyara kehidupan,” jelas Mahdzir.

Penerima Replika Kunci Rumah bantuan Bina Baharu Program PPRT bergambar bersama YB Dato’ Seri Mahdzir Bin Khalid (tiga dari kiri)

Selain daripada itu, YB Menteri juga turut menyampaikan Replika Kunci Rumah kepada 10 orang penerima bantuan Bina Baharu Program PPRT di daerah Lawas. Program ini merupakan bantuan pembinaan rumah baharu kepada penerima yang tidak mempunyai rumah atau rumah yang didiami terlalu uzur dan tidak ekonomikal untuk dibaiki.

Menurut Mahdzir, “Menerusi inisiatif ini, kerajaan berharap jaringan sosial, kekeluargaan dan kehidupan yang berkualiti dan selesa dapat dinikmati oleh golongan penerima.”

Di samping penyampaian bantuan program di atas, seramai 30 orang peserta Program Long Life Learning (3L) turut menerima SijilTamat Latihan masing-masing. Penerima merupakan peserta kursus Seni Reka Gaya Rambut dan Jahitan Pakaian & Fesyen di GIATMARA Lawas.

“Penawaran program-program ini adalah bagi membuka peluang kepada belia untuk memperoleh kemahiran yang boleh digunakan sebagai salah satu punca pendapatan yang mampu menaik taraf kehidupan masyarakat tempatan,” tambah Mahdzir lagi.

Sebagai tanda sokongan dan prihatin, YB Menteri menyampaikan sumbangan bantuan di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Rural Capital Berhad kepada 15 orang Asnaf yang menerima sumbangan berbentuk Bakul Makanan serta sumbangan CSR daripada FELCRA Berhad bernilai RM34,800.00 kepada penduduk Ladang Rakyat Gandingan Serasi.

Alat Bantu Pembelajaran berupa Tablet/Alat Peranti Elektronik sumbangan dari Yayasan Pelajaran MARA (YPM) kepada pelajar B40

Turut diraikan di dalam majlis tersebut adalah 15 orang pelajar B40 yang menerima Alat Bantu Pembelajaran berupa Tablet/Alat Peranti Elektronik sumbangan dari Yayasan Pelajaran MARA (YPM) dan peralatan persekolahan berbentuk beg sekolah dan alat tulis kepada 100 orang pelajar di Lawas.

Aktiviti khidmat masyarakat turut diadakan dengan menawarkan perkhidmatan menggunting rambut percuma dan demonstrasi produk jahitan yang dianjurkan oleh pelajar GIATMARA Lawas.

Dalam majlis yang sama, YB Menteri turut menyampaikan replika cek agihan dividen FELCRA interim 1 dan 2 tahun 2021 bernilai RM2,155,450 kepada 2,864 peserta dari Ladang Rakyat Kuala Gemilang dan Ladang Rakyat Tumbahak. Agihan keuntungan  FELCRA ini telah diumumkan dan mula diagihkan melalui Ladang Rakyat Pelita Sdn Bhd sebagai pemegang amanah yang telah dilantik kerajaan Negeri Sarawak kepada Warga Peserta pada 6 November 2021.

Mahdzir berkata, keuntungan bagi interim 1 dan 2 yang diagihkan itu adalah hasil keuntungan bersih ladang rakyat yang dimajukan oleh FELCRA dengan kerjasama agensi  kerajaan negeri Sarawak seperti Ladang Rakyat Pelita Sdn Bhd di kawasan Lawas yang berkeluasan 2,067.30 hektar.

“Kita diberikan kelulusan oleh Kerajaan Negeri untuk membangunkan tanah terbiar yang boleh dijadikan sumber ekonomi melalui aktiviti perladangan besar-besaran bagi membantu masyarakat pribumi meningkatkan status sosio-ekonomi mereka secara berterusan,” katanya

Majlis ini turut dihadiri oleh YB Datuk Haji Hasbi bin Habibollah, Timbalan Menteri KPLB bersama pemimpin negeri, Ketua Agensi Pentadbiran Daerah dan Pemimpin Masyarakat serta penduduk setempat.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.