UniKL MIAT, Dilengkapi Peralatan Avionik Dan Instrumen Dengan Piawaian Pesawat Sebenar

Oleh: Ziela Amin

SUBANG – Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) kini dilengkapi peralatan avionik dan instrumen dengan piawaian pesawat sebenar. Menteri Pembangunan Luar Bandar, YB Dato’ Seri Mahdzir Khalid telah hadir merasmikan Pusat Simulasi Penerbangan bagi Program Latihan Penarafan untuk pesawat Boeing 737-800 di MIAT, Subang.

Menurut Mahdzir, simulator B737-800 ini akan diguna pakai untuk latihan kejuruteraan baik pulih pesawat di mana pelajar akan dilatih dan didedahkan kepada pelbagai sistem kejuruteraan pesawat melalui proses pengujian sistem avionik dan instrumen.

“Pelajar akan didedahkan dengan kejuruteraan teknologi simulasi penyelenggaraan dan penerbangan terkini selain diajar asas penerbangan dan seterusnya dapat menerbangkan pesawat dengan baik,” katanya.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, pusat simulasi berkenaan mendapat pengiktirafan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia dan Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah untuk tujuan latihan kejuruteraan penyelenggaraan pesawat.

“Simulator di UniKL MIAT ini juga merupakan satu-satunya simulator B737-800 yang beroperasi di negara ini selain yang terdapat di Malaysia Airlines,” tambah Mahdzir.

Dalam pada itu, seramai 150 pemimpin mahasiswa dari keseluruhan 12 kampus UniKL menyertai Ministerial Talk Series yang diadakan buat julung kali oleh Bahagian Gaya Hidup Kampus UniKL yang membolehkan mereka berinteraksi secara langsung bersama pemimpin negara.  Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Ramlan Harun, Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA, Encik Razlan Haji Samsuri, Pengerusi UniKL, Prof. Emiritus Datuk Dr. Sukiman Sarmani dan Pengarah Eksekutif Mara Corporation Sdn. Bhd., Datuk Suhaili Abdul Rahman.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.