Bantu Anak PPR Melalui Program Pembangunan Pendidikan

YB Datuk Seri Panglima Hajah Azizah (dua dari kanan) menyampaikan kit COVID-19 dan sumbangan wang tunai kepada pelajar Tuisyen Pintar PPR

KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), YB Datuk Seri Panglima Hajah Azizah binti Mohd Dun hadir ke Majlis Perasmian Program Pembangunan Pendidikan PPR Wilayah Persekutuan yang diadakan di PPR Seri Semarak sebagai tanda sokongan dan prihatin beliau terhadap golongan B40 yang memerlukan bantuan.

Azizah berkata, Program Pembangunan Pendidikan PPR ini merupakan inisiatif Yayasan Pelajaran MARA (YPM) yang bertujuan memberi ruang dan peluang kepada pelajar B40 untuk mendapatkan bimbingan serta pendedahan akademik melalui beberapa program yang disediakan.

“Antara program pendidikan yang dilaksanakan adalah Program Tuisyen Pintar PPR, Selangkah ke Universiti, Usahawan Digital serta Celik al-Quran bagi memastikan kumpulan pelajar ini mendapat pendidikan terbaik secara berterusan.

“YPM telah memperuntukkan sebanyak RM99,800 bagi Program Pembangunan Pendidikan PPR ini yang bermula sejak September lalu dan akan diteruskan sehingga tahun hadapan,”ujar Azizah.

Tambah beliau, majlis perasmian kali ini memfokuskan bantuan kepada 100 orang pelajar tuisyen PPR dimana mereka menerima bantuan kit COVID-19   beserta wang tunai daripada YPM dan Rural Capital Berhad.

Untuk rekod, bagi tahun 2021, pelbagai program dan bantuan disalurkan kepada komuniti PPR di Wilayah Persekutuan melibatkan 3,600 penerima manfaat dengan nilai keseluruhan bantuan sebanyak RM161,480.00.

Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan) MARA Puan Rohayah binti Mohd Zain, Pengerusi Eksekutif YPM, YBhg. Dato’ Dr. Mohd Nizar bin Hj Sudin, Wakil Ketua Pegawai Eksekutif SSM, serta wakil agensi dan Pengerusi Penduduk PPR Seri Semarak turut hadir ke program ini.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.