BUDAYA INOVASI & KREATIF CETUS KEJAYAAN MARA

Oleh : Azimah Nasruddin

Anugerah AIM 2021 pertama kali bersiaran secara Maya

Kuala Lumpur, 25 Oktober – Budaya Inovasi dan Kreatif menjadi keutamaan dalam organisasi Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk terus kekal relevan seiring perkembangan Industri 4.0 dengan memberi penglibatan penuh bermula peringkat pelajar dan warga kerja bagi mencetuskan lagi kejayaan buat MARA

Majlis Anugerah Inovasi MARA (AIM) 2021 disempurnakan oleh Ketua Pengarah MARA, Dato’ Azhar bin Abdul Manaf yang julung kali diadakan secara maya bertujuan memberikan pengiktirafan serta penghargaan kepada mereka yang telah berjaya mencabar diri menghasilkan inovasi sekaligus memberi impak yang besar kepada kemajuan organisasi demi menghasilkan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Menurut Dato’ Azhar Bin Abdul Manaf, “ Dalam mendepani domain teknologi utama iaitu fizikal, digital dan biologikal yang merentasi sembilan tonggak Industri 4.0, MARA terus mendokong dasar kerajaan bagi menyemarakkan budaya kreatif dan inovatif warga kerja dan produk yang berjaya dihasilkan.”

Sebanyak empat (4) kategori yang dipertandingkan sepanjang AIM 2021 yang berlangsung bermula 28 April 2021 sehingga 31 Ogos 2021. Kategori yang dipertandingkan adalah Kategori Inovasi Produk Staf MARA (IPSM), Kategori Inovasi Produk Pelajar MARA (IPPM), Kategori Inovasi Sistem Staf MARA (ISSM) dan Kategori Inovasi Sistem Pelajar MARA (IPSM). Anugerah Khas Inovasi MARA pula dipilih daripada salah seorang pemenang utama bagi setiap kategori.

Lima (5) peserta terbaik bagi setiap kategori yang dipertandingkan bakal menerima wang tunai berjumlah RM500 beserta sijil bagi pemenang tempat kelima dan keempat, wang tunai RM2,000 beserta sijil bagi pemenang tempat ketiga dan wang tunai RM3,000 beserta sijil ditawarkan kepada pemegang tempat kedua. Johan atau pemenang utama bagi setiap kategori akan menerima wang tunai RM4,000 beserta sijil. Piala AIM beserta sijil akan diberikan bagi pemenang Anugerah Khas Inovasi MARA 2021.

Pemenang tempat pertama bagi kategori Inovasi Produk Pelajar MARA (IPPM) telah dinobatkan kepada Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Terendak dengan produk Lightning Alarm Dangerous Strike Alert System(LADSA). Bagi kategori Inovasi Sistem Staf MARA (ISSM) pula diungguli oleh Bahagian Pendidikan Menengah (BPM) dengan produk ciptaannya iaitu Kit Pembelajaran 4ir Dengan Pendekatan Gamifiksi Untuk Sains Menengah Rendah Di MRSM. Pemenang utama kategori Inovasi Sistem Pelajar MARA (ISPM) pula dimenangi oleh MRSM Terendak dengan produk ciptaan Safe Distancing Monitoring System (SDM).

Produk Sustainable Particle Board Agrowaste And Natural Oil Based Polyurethane Adhesive For Eco Consumer Furniture Products ciptaan Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Petaling Jaya berjaya memenangi kategori Inovasi Produk Staf MARA (IPSM). Anugerah Khas Inovasi MARA 2021 pula telah dinobatkan kepada Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Terendak dengan produk Lightning Alarm Dangerous Strike Alert System(LADSA).

Memetik ucapan Dato’ Azhar lagi, beliau amat berharap semoga warga MARA akan sentiasa membudayakan inovasi di institusi masing-masing dan dapat mencabar diri dengan berfikir di luar kotak menggunakan kaedah pemikiran Design Thinking dan Business Model Canvas (BMC).

“Cetusan idea yang kreatif dan inovatif bukan sahaja berperanan menyelesaikan tetapi mampu melonjakkan pencapaian sesebuah negara ke tahap yang lebih cemerlang, kekal berdaya saing dan relevan dalam arus kepesatan global,” tegas beliau.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.