Cedoq Aiskrim Sasar Pelbagai Produk Halal

Oleh: Ziela Amin

Kursus design development anjuran MARA Melaka bantu Fatimah beralih kepada packaging yang lebih menarik

Melaka, 18 Oktober- “Pada awal perniagaan dahulu, sekitar Oktober 2018, aiskrim “homemade’ kami hanya bermula di rumah. Kami berusaha setapak demi setapak berbekalkan modal RM3,000 menghasilkan pelbagai perisa aiskrim. Kini, kami mensasarkan lebih banyak produk aiskrim halal bakal dicipta,”jelas Fatimah Shafiee, pengasas Cedoq Aiskrim.

Menurut Fatimah, beliau mengusahakan sendiri operasi perniagaan aiskrim ini dengan hanya dibantu oleh suaminya.  Idea memulakan perniagaan aiskrim timbul selepas menyedari kekurangan pilihan produk itu yang dihasilkan oleh usahawan Bumiputera Islam.

“Kami bekerja keras memperkenalkan Cedoq Aiskrim yang mampu dibeli dan menjadi kesukaan ramai, paling penting produk kami halal dan mempunyai rasa yang unik dan pelbagai jenis,”jelas beliau.

Katanya lagi, sebelum tertubuhnya perniagaan ini, beliau telah menimba ilmu pengetahuan dan melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran berkaitan penyediaan, pembuatan dan pengurusan aiskrim melalui kursus dan kelas bimbingan termasuk yang berbayar di sekitar dan luar Melaka.

“Salah satu kursus yang memberi impak kepada saya adalah kursus design development anjuran MARA Melaka di mana usahawan dibimbing bagaimana untuk memperkukuhkan jenama dan pemilihan packaging yang menarik,”kata Fatimah.

Dengan minat yang mendalam, beliau memilih menjalankan perniagaan berasaskan aiskrim kerana permintaan yang tinggi daripada pelanggan terutamanya menjadi katerer aiskrim di majlis perkahwinan, majlis hari jadi, majlis korporat dan pelbagai majlis dari jabatan atau individu.

Tambah Fatimah, beliau juga mendapati modal dalam pembuatan aiskrim seperti bahan mentah adalah lebih murah berbanding dengan perniagaan lain serta keuntungan yang bakal diperolehi adalah lebih menguntungkan.

Menyedari perniagaannya mula mendapat sambutan yang sangat menggalakkan, Fatimah telah mendapatkan bantuan modal daripada MARA melalui Skim Putra berjumlah RM10,000 pada tahun 2019.

“MARA banyak bantu saya, syukur sangat dapat naik taraf mesin aiskrim kepada yang lebih canggih.

“Maka dapatlah kami meningkatkan pengeluaran aiskrim. Jualan sebulan pun telah meningkat dari RM1,500 sebulan kepada RM3,000.00 sebulan,”kata Fatimah.

Pada 29 Julai 2020, beliau sekali lagi menerima berita yang menggembirakan kerana bantuan daripada MARA tidak pernah terhenti. Disebabkan permintaan yang tinggi daripada penggemar aiskrim, Fatimah mengukuhkan jenama produknya dengan berpindah ke Bazar Bemban yang merupakan premis perniagaan MARA Daerah Jasin. Cafe Cedoq adalah cafe aiskrim pertama di Jasin, Melaka.

Fatimah berkata,“Kami sekali lagi mohon bantuan modal di bawah pembiayaan Skim Kemudahan Pembiayaan Pengukuhan Perniagaan MARA (SPAK) pada 26 Oktober 2020, berjumlah RM10,000.00 untuk pembelian freezer dan chiller serta ubah suai Cafe Cedoq. Dengan pembiayaan SPAK, kami manfaatkan bantuan tersebut sebaik mungkin sehingga perniagaan kami semakin berkembang maju serta berjaya melonjakkan hasil jualan kepada RM5000.00 sebulan.

Fatimah berhasrat agar perniagaan ini juga membuka peluang pekerjaan kepada orang ramai iaitu sebagai agen yang dilantik sekaligus membantu masyarakat yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.