PESARA DIRAIKAN DALAM MAJLIS APRESIASI PERKHIDMATAN MARA 2020

Oleh: Azlinah Hambali

Kuala Lumpur, 12 Oktober – Majlis Amanah Rakyat (MARA) hari ini meraikan warga kerja yang telah bersara dalam Majlis Apresiasi Perkhidmatan MARA 2020 yang disiarkan secara langsung melalui laman Facebook rasminya.

Majlis yang disempurnakan oleh Ketua Pengarah MARA, Dato’ Azhar bin Abdul Manaf ini julung kali diadakan secara maya bertujuan mengiktiraf dan menghargai sumbangan serta khidmat bakti warga kerja yang telah berkorban bagi memartabatkan MARA sebagai agensi pemerkasaan Bumiputera.

Dato’ Azhar dalam ucapannya berkata, “Kehilangan para pegawai dan warga kerja berpengalaman serta dedikasi ini sudah pasti akan dirasai oleh MARA kerana mereka inilah antara yang telah mencurahkan khidmat bakti untuk agama, bangsa dan negara di samping mengharumkan nama MARA.

“Setiap yang patah kan tumbuh, yang hilang kan berganti, namun yang datang takkan sama dengan yang hilang,” jelasnya lagi.

Dalam majlis tersebut, 254 pesara terdiri daripada Pesara Wajib, Pesara Pilihan, Pesara Kesihatan dan Pesara Terbitan diraikan menerusi tayangan montaj penghargaan atas khidmat bakti yang dicurahkan. Suasana pilu dan sedih mula dirasai apabila montaj Pesara Terbitan disiar bagi mengenangkan kakitangan yang telah meninggal dunia semasa tempoh perkhidmatan.

Selain itu, pesara yang diraikan turut menerima wang saguhati berjumlah RM 1,000 serta cenderamata berupa seutas jam tangan sebagai tanda penghargaan MARA kepada pesara.

Memetik ucapan Dato’ Azhar lagi, beliau turut menegaskan bahawa persaraan bukanlah pengakhiran hidup tetapi merupakan suatu perubahan fasa baharu dalam meniti kehidupan.

“Saya percaya tuan puan telah membuat perancangan yang rapi bagi menghadapi fasa baharu kehidupan selepas ini. Amalkan pengurusan kewangan berhemah agar kehidupan selepas bersara tidak dibebani dengan masalah keberhutangan yang boleh menjejaskan kehidupan dan keharmonian keluarga,” tegasnya.

Pasangan suami isteri, Jasme Ali dan Norhaida Mohd Taib merupakan antara pesara yang diraikan dalam majlis tersebut. Ketika dihubungi, Jasme berkata “Syukur ke hadrat Allah kerana kami suami isteri menjadi penerima dalam majlis yang sama pada tahun ini sekaligus menjadi memori terindah apabila di sambut dalam norma baharu. Terima kasih atas penghargaan dan ingatan MARA kepada pesara,” katanya.

Sebagai rekod, MARA menyediakan pelbagai kemudahan kebajikan warganya seperti pembiayaan perumahan, kenderaan dan komputer serta rawatan perubatan bagi memastikan tahap kehidupan dan kesihatan warga kerja dan keluarga sentiasa dalam keadaan yang terbaik. Kemudahan kebajikan yang dinikmati saban tahun ini merupakan intepretasi ucapan terima kasih dan tanda prihatin MARA kepada warga kerjanya.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.