GTG BANTU KAMI MENEMBUSI PASARAN GLOBAL

Oleh : Azimah Nasruddin

Ustaz Munif bersama pelanggan di salah satu booth jualan di Brunei Darussalam

Munif Hijazz Marketing Sdn.Bhd. merupakan usahawan yang dibangunkan melalui program Gate to Global (GTG) yang berjaya menembusi pasaran global sekaligus melonjakkan hasil jualan.

“MARA telah menyediakan latihan dan program bersepadu untuk mengeksport produk kami dengan kerjasama agensi – agensi kerajaan lain,” kata Abdul Malek Manap selaku Pengarah Urusan Syarikat Munif Hijjaz Marketing Sdn.Bhd.

Beliau memulakan peniagaan minyak wangi secara kecil – kecilan pada tahun 2010 setelah membuat beberapa penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk minyak wangi berkenaan. Pada tahun 2012, beliau telah beralih perniagaan kepada produk makanan dan minuman (F&B) kerana permintaan kepada penjualan produk minyak wangi yang semakin menurun dan mencuba ke arah perniagaan yang mempunyai permintaan semasa yang lebih tinggi.

Tambah Abdul Malek lagi, melalui program GTG MARA, Munif Hijjaz Marketing Sdn.Bhd. telah berjaya mengeksport beberapa produk makanan sunnah ke Brunei, Jeddah, Arab Saudi dan Singapura. Selain daripada itu, Munif Hijazz Marketing Sdn.Bhd. telah berjaya menjual produk ke pasaran antarabangsa sehingga mencecah RM2 juta setahun.

Ustaz Munif ditemuramah oleh stesen TV di Brunei Darussalam

“Antara produk yang telah menembusi pasaran dunia adalah Munif Coco, Better Cafe’, Better Goat Susu Kambing dan Dates. Saya juga didedahkan oleh pihak MARA dengan proses dokumentasi dan perundangan mengikut negara sasaran bagi tujuan pengeksportan serta kaedah berurusan dengan pembeli berpotensi di luar negara supaya segala urusan padanan perniagaan dapat mencapai kata sepakat antara pihak pembeli dan juga usahawan. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar,” jelasnya.

“Selain membuat jualan secara trading, saya juga mempunyai beberapa agen jualan. Sehingga kini, jualan secara agen telah mencecah RM1,000 sebulan. Jualan di beberapa platform dalam talian dilaksanakan juga setelah mendapat bimbingan daripada MARA. Alhamdulillah jualan di Shopee sahaja telah mencecah lebih RM20k sebulan,” katanya lagi.

Beliau juga berharap program yang dilaksanakan MARA ini dapat memberi peluang kepada peniaga kecil yang lain memulakan peniagaan bagi menjana pendapatan terutamanya di musim pandemik ini.

This entry was posted in Usahawan and tagged . Bookmark the permalink.