Perkasa Platform Digital Untuk Berdaya Saing

Kuala Lumpur, 29 September- Impak pandemik kepada usahawan PKS MARA terus dirasai, namun terdapat juga peniaga yang berjaya mengekalkan jualan secara konsisten, malah memperoleh pendapatan lebih tinggi berbanding sebelum pandemik berlaku. Apakah strategi mereka? Pada masa ini, pemasaran melalui platform digital telah diperkasa bagi memastikan aktiviti penjenamaan dan pemasaran dapat dipertingkatkan seterusnya melestarikan perniagaan mereka dalam pasaran semasa.

Menurut Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU), Tuan Yahaya Sani berkata, MARA mengambil inisiatif memperkenalkan program Live Biznetwork. Program ini menggunakan platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan Youtubesebagai pendekatan yang strategik dan inovatif kepada perniagaan masa kini. Platform media sosial menjadi strategi kebanyakan usahawan dalam memperkenalkan jenama, promosi produk serta perkhidmatan dengan lebih cepat dan berkesan.

“Live Biznetwork merupakan medan usahawan mengadakan promosi, meningkatkan jualan dan meluaskan lagi rangkaian jaringan antara usahawan dengan bakal agen menggunakan media sosial. 

“Usahawanakanmembuat live review mengenai produk atau servis mereka. Teknik yang kreatif mampu menarik dan mempengaruhi pengguna media sosial untuk membuat pembelian. Sebelum ini, BPU telah menyediakan siri-siri kursus keusahawanan bagi berkongsi teknik penjualan secara dalam talian seperti Digital Presence Specialisation-Smart Business Strategy for Entrepreneur in Professional Services,”jelas Yahaya.

Tambah beliau, program penjenamaan dan pemasaran di platform  Live Biznetwork ini telah bermula pada 1 Jun hingga 30 November 2020 yang lalu dengan penglibatan 275 orang usahawan dan mencatatkan jualan sebanyak RM2.5 juta.

Pada tahun 2021, terdapat beberapa siri program khas Live Biznetwork yang telah berjaya dilaksanakan seperti Program Live Biznetwork-PROPER bersama enam pemilik restoran sekitar Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam mempromosikan produk di restoran mereka.

“Menariknya, hasil jualan yang direkodkan ialah berjumlah RM135K iaitu dengan kadar peningkatan jualan sebanyak 12%.

“Selain itu, Program Fiesta Live Raya telah berjaya dilaksanakan bersama 40 usahawan pada 13 April hingga 2 Mei 2021 sempena jualan Aidilfitri. Program ini telah berjaya melonjakkan jualan dan viewer peserta yang terlibat. Jumlah jualan yang terkumpul ialah RM 176K,”katanya lagi.

Berdasarkan perkembangan dan maklum balas yang sangat baik dalam kalangan usahawan yang terlibat dengan Live Biznetwork, maka program ini telah diteruskan lagi bagi membantu lebih ramai usahawan di luar sana. Ianya terbukti  bahawa pemerkasaan platform jualan secara digital membantu usahawan kekal berdaya saing.

sumber asal : Bahagian Pembangunan Usahawan

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.