USAHAWAN BUMIPUTERA TANGGUNG KERUGIAN KESAN COVID-19

Dato’ Azhar hadir menyampaikan bantuan Inisiatif Tambahan PEMULIH kepada usahawan MARA, Negeri Sembilan

Oleh  : Azlinah Hambali

Seremban, 15 September- Pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak lebih setahun yang lalu memberi impak yang besar  kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera. Mereka menanggung kerugian yang hampir mencecah puluhan ribu ringgit sehingga ada yang terpaksa menghentikan operasi perniagaan.

Begitu jugalah yang terpaksa dihadapi oleh usahawan Bumiputera dibawah kawal selia MARA terutama yang berada di kawasan luar bandar seperti di Negeri Sembilan. Mereka menghadapi masalah aliran tunai apabila produk kurang mendapat permintaan mengakibatkan prestasi jualan menurun dan operasi syarikat tidak dapat dijalankan dengan baik.

Menurut En Mohd Raziz bin Sharim yang menjalankan perniagaan restoran makanan laut di bandar Senawang, “Pandemik ini sangat memberi kesan dan saya mengalami kerugian yang sangat besar sehingga terpaksa berhutang dengan rakan-rakan dan keluarga demi menyelamatkan perniagaan saya.

“Alhamdulillah dengan kemudahan dan pembiayaan yang diterima, saya dapat menyusun semula operasi perniagaan dengan membuat penambahbaikan serta memperbanyakkan semula stok-stok makanan laut dan barang-barang kering. Saya juga akan membayar balik hutang-hutang kedai bagi meringankan beban,’’ katanya.

Bagi pemilik Warung Salai Food, Puan Ishanira binti Bahari, MARA bukan sahaja menyalurkan pembiayaan tetapi juga memberikan moratorium untuk saya bangkit semula dalam perniagaan setelah sektor ekonomi dibuka semula. Perniagaan yang dijalankan  lebih daripada 5 tahun kini, mempunyai seramai 40 orang pekerja dan 6 premis yang memerlukan kos operasi yang tinggi apatah lagi syarikat ini tidak menerima sebarang bantuan pada awal pandemik tempohari.

“Saya bersyukur kerana dalam situasi yang mencabar ini, saya telah diberikan Moratorium Pembiayaan daripada pihak MARA dan sekaligus dana bayaran pembiayaan itu digunakan untuk pusingan modal perniagaan saya,” ujar Ishanira.

Dato’ Azhar (kanan) mendengar taklimat daripada pengusaha Syarikat Abumie Holdings Sdn Bhd, Mohd Shuhaimi (kiri) mengenai jenis makanan frozen yang dikeluarkan di Seremban sempena Lawatan Kerja YBhg Dato’ Ketua Pengarah.

Salah seorang penyewa yang ditemui, En Mohd Jazrin bin Kasnin pemilik Anak Bapak Corner Catering menyifatkan pengecualian dan diskaun sewa yang diberikan benar-benar meringankan beban yang ditanggung. Dengan adanya kemudahan tersebut dapatlah saya menampung kos pemasaran yang lebih tertumpu kepada perkhidmatan penghantaran (delivery service).

‘’Saya berharap pendemik ini segera berakhir agar saya serta rakan-rakan usahawan yang lain dapat berniaga seperti biasa walaupun dalam keadaan norma baharu  dan terus berusaha untuk lebih berdaya saing supaya ekonomi negara dapat dipulihkan,” tambah Jazrin.

Ketiga-tiga usahawan dari Negeri Sembilan ini merupakan antara penerima manfaat inisiatif yang dilaksanakan oleh MARA untuk memulihkan semula perniagaan yang terjejas akibat pandemik Covid-19. Setakat hari ini, MARA Negeri Sembilan telah menyalurkan dana bernilai RM5.46 juta yang telah memberi manfaat kepada seramai 148 orang usahawan melalui Skim Pembiayaan Perniagaan Prihatin Mikro (S3P). Di samping itu, MARA turut menyediakan Moratorium atau penangguhan bayaran balik pembiayaan perniagaan yang melibatkan 559 usahawan dengan implikasi kewangan bernilai RM1.15 juta. Manakala, bagi pengecualian bayaran dan diskaun sewa premis perniagaan seramai 381 usahawan telah menerima manfaat tersebut.

Minggu lalu, Dato’ Azhar bin Abdul Manaf, Ketua Pengarah MARA telah turun padang meninjau sendiri perniagaan usahawan yang terjejas serta mendapat maklumbalas daripada mereka. Beliau juga turut menyampaikan surat pengecualian bayaran sewa premis dan cek kemudahan pembiayaan kepada beberapa usahawan berkaitan semasa sesi tersebut.

Beliau berharap usahawan dapat memanfaatkan bantuan yang telah disediakan oleh MARA untuk mengatur strategi, menambahbaik model perniagaan dan sistem operasi agar usahawan mampu berhadapan dengan cabaran lain pada masa akan datang.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.