Majlis Penyampaian Kemudahan MARA Kepada Usahawan MARA dan Bantuan Persekolahan Pelajar-Pelajar Negeri Johor

Kota Iskandar, 21 September 2021- Majlis Penyampaian Kemudahan MARA Kepada Usahawan MARA dan Bantuan Persekolahan Kepada Pelajar-Pelajar Negeri Johor telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian,  Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, YB Datuk Haji Samsolbari bin Jamali di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, Johor.

Dalam majlis ini, seramai 3 orang usahawan telah menerima kemudahan Pensijilan BEST berjumlah RM48,500.00 dan 2 orang usahawan telah menerima kemudahan Program BASE berjumlah RM16,000.00.

Selain itu, penyampaian cek untuk Skim Pembiayaan Perniagaan MARA juga diadakan di mana 3 orang usahawan telah menerima kemudahan SPIM berjumlah RM750,000.00 dan seorang usahawan menerima kemudahan SPIKE berjumlah RM130,000.00.

Majlis diteruskan lagi dengan penyampaian Surat Tawaran Penyewaan Premis Perniagaan MARA kepada 5 orang usahawan melibatkan premis di Bazar MARA Pontian, Arked  MARA Tangkak, Bazar MARA Bukit Gambir, Lot Komersial MARA Pagoh Jaya dan Lot Komersial MARA Tmn Muhibbah Segamat.

Dalam majlis yang sama, Yayasan Pelajaran MARA (YPM) turut menyampaikan Bantuan Persekolahan Kepada Pelajar-Pelajar Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah Negeri Johor melalui cek bernilai RM312,000.00 kepada wakil Pengurusan Jabatan Pendidikan Negeri Johor. 

Majlis ini juga diteruskan dengan Penyampaian Bantuan Persekolahan (Exam Kit) dan Bantuan Bakul Makanan kepada pelajar-pelajar DUN Semarang berjumlah RM10,000.00. 

Dalam pada itu, Datuk Haji Samsolbari turut menyampaikan penghargaan Kerajaan Negeri Johor atas majlis yang telah dianjurkan oleh MARA kerana peranan MARA amat besar dalam membangunkan sosio ekonomi Bumiputera dan usaha murni seperti ini haruslah diteruskan agar masyarakat mengetahui program-program yang ditawarkan oleh MARA sama ada dalam bidang Keusahawanan mahupun Pendidikan.

Sumber: MARA Negeri Johor

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.