KEJAYAAN GADIS MELAYU DI BUMI ASING

Oleh Zahemi A. Islami

Menjadi satu keinginan dan kebanggan bagi setiap graduan untuk berpeluang bekerja di
syarikat mahupun organisasi besar terkenal dunia seperti Amazon, Google, atau Netflix. Bagaimana pula rasanya jika tertera di resume anda bahawa anda pernah dan berpeluang
berkhidmat di ketiga-tiga organisasi besar dunia ini? Pasti hebat rasanya bukan. Inilah jejak kejayaan yang amat membanggakan dan menjadi perangsang kepada semua rakyat Malaysia terutamanya warga MARA apabila saudari Aimee Shahir kini memegang jawatan sebagai Pengurus Produksi di syarikat Netflix yang menjadi pemicu terbesar dalam pasaran berasaskan perkhidmatan penstriman (streaming services) media dan hiburan yang beribu pejabat di Los Gatos, California, Amerika Syarikat.


Aimee Shahir, 34 tahun, ialah bekas pelajar MRSM Kuantan dan berasal dari Kuala Lumpur,
memulakan kariernya di Petronas dengan jawatan terakhir sebagai eksekutif kanan dari 2009
hingga 2015 sejurus lulus dari University of Durham, UK di bawah tajaan Petronas dalam bidang ekonomi dengan kelas pertama. Langkah Aimee semakin mengorak jauh apabila menerima tawaran melanjutkan pengajiannya dalam Master of Business Administration (MBA) di University of Yale, salah sebuah universiti terkemuka dunia di Amerika Syarikat.
Sejurus lulus dengan cemerlang beliau terus menerima tawaran berkerja di Amazon.com.Inc., sebuah syarikat teknologi antarabangsa berpengkalan di Amerika Syarikat yang terlibat dalam pasaran e-dagang, pengkomputeran awan (cloud computing), penstriman digital (digital streaming) dan kecerdasan buatan (artificial intelligence). Amazon juga tersenarai antara lima syarikat terbesar atau The Big Five di Amerika di dalam industri IT selain Google, Apple, Microsoft dan Facebook. Aimee diberi kepercayaan menjawat jawatan sebagai salah seorang individual contributor (IC) pada 2017 hinggalah jawatan terakhirnya sebagai seorang pengurus pada 2019 dengan mengetuai salah satu unit kejuruteran pengisian (‘software engineering’) di Amazon Prime Video.

Pengalaman dan kewibaanya membawa beliau lebih jauh kehadapan dengan tawaran baharu
sebagai seorang Pengurus Produk di Google LLC sebuah syarikat gergasi yang tidak perlu
diperkenalkan lagi. “Saya pegang ini sebagai salah satu titik tolak membina jati diri dan
keyakinan dalam membina laluan kerjaya yang lebih mencabar kredibilti dan kapasiti saya
sebagai seorang anak melayu di bumi asing” kata Aimee bersemangat memulakan bicaranya.

“Di Google, saya perlu memperlengkapkan diri dengan kepakaran yang ada, lebih peka dan sentiasa bersikap terbuka dengan dunia tanpa sempadan di Google. Sebagai seorang gadis Melayu Muslim, persekitaran suasana Islamophobia dan perkauman perlu ditangani dengan lebih berhati-hati dan secara intelektual”. Menurut Aimee lagi, ketika berkhidmat di Amazon, setiap kakitangan harus memahami dan mengamalkan 15 prinsip kepimpinan yang disediakkan dan dua prinsip yang sentiasa dipegangnya adalah customer obsession atau obsessi kepada pelanggan anda iaitu dengan memberi fokus dan idea baharu kepada keperluan pelanggan dan juga prinsip disagree and commit atau biarpun memiliki pendapat berbeza tetapi kita perlu tetap komited dalam memberi sokongan kepada kumpulan kerja anda.

“Saya bawa dua prinsip ini ketika melangkah ke Google dan perlu menampilkan sikap profesional yang tinggi dan sentiasa ambil tahu apa yang berlaku disekliling supaya sebarang permasalahan dalaman tidak akan menjadi isu kelak”, kata Aimee dengan optimis. Sikap orang timur yang ramah tamah dan sentiasa merendah diri tetapi tampil kekal profesional dan beretika menjadi kunci kejayaan beliau dalam menangani orang bawahannya yang terdiri dari pelbagai bangsa terutamanya dari bangsa Amerika itu sendiri. Pengalaman yang luas di Petronas dan Amazon telah membuatkan beliau mampu meraih kepercayaan di Google Payments, dan telah berjaya melancarkan beberapa teknologi perisian yang digunapakai oleh beberapa anak syarikat Google seperti Google Ads, Google Cloud, Playstore, Youtube dan sebagainya. Kesungguhan ini terbukti dengan kejayaan beliau dinaikkan pangkat hanya dalam tempoh 18 bulan sahaja.


Menyesuaikan diri Tidak mendabik dada dengan kejayaan yang dicapai, Aimee berkongsi pengalaman beliau selama di Google iaitu sentiasa rasa hormat sebagai kunci segalanya. Inilah prinsip yang perlu mereka pegang setiap hari, rasa hormat kepada pengguna (‘respect the user’), hormat dengan setiap rakan kerja (‘respect each other’) dan yang penting sekali, hormati setiap peluang dan tanggungjawab yang diberikan (‘respect the opportunity’). Kekuatan prinsip berkerja yang diperoleh dari dua buah syarikat sebelum ini memudahkan Aimee membawa dirinya dengan tanggungjawab baharunya pula di Netflix pada April 2021 yang lepas. Di Netflix, pendekatan yang diamalkan pula adalah sentiasa mendahulukan nilai kemanusiaan berbanding proses kerja dan sentiasa mendahulukan kepentingan Netflix demi kejayaan organisasi itu.


Inspirasi yang dipinjam pakai dari CEO Neflix, Reed Hastings melalui bukunya No Rules Rules, Aimee sentiasa teruja dengan cabaran perniagaan berbentuk striming, terutama bagaimana pembikinan dan penyediaan sesebuah bahan untuk filem, kini bersedia untuk terus mengorak langkah lebih jauh dengan jawatan baharunya sebagai Pengurus Produk untuk Studio Inovasi di Netflix.

Ditanya pula apakah resipi yang dipegang beliau untuk terus kekal relevan di bumi asing, Aimee menyatakan “saya tidak melihat pada kegagalan atau meletak sesuatu itu sebagai
kejayaan semata-mata tetapi menganggap ini semua sebagai satu proses pembelajaran untuk menuju sesuatu yang lebih hebat, seperti pepatah Inggeris,saya sentiasa anggap diri saya seperti drinking from the firehose. Saya cuba kekal optimis dalam menghadapi perubahan dan mempelajari untuk memanfaatkan sepenuhnya dengan semangat tidak cepat mengalah.” Tambah Aimee lagi, sokongan mentor, rakan kerja, dan keluarga, memainkan peranan yang besar dalam semua usaha. Kita sentiasa perlu memastikan setiap sumbangan yang dilakukan akan meninggalkan impak positif kepada yang lain.

Perancangan masa hadapan Aimee yang juga seorang peminat dan aktivis konservasi hidupan laut, pernah menyertai program konservasi penjagaan jerung putih di laut dalam di Arika Selatan pada 2014, baharu sahaja pulang dari menamatkan kursus lanjutan pentauliahan penyelam penyelamat (PADI – Rescue Diver) di Hawaii baru-baru ini menyatakan masih terlalu baru di Netflix untuk beliau merancang lebih jauh tetapi amat bersyukur dengan rezeki dan peluang yang diberikan kepadanya. Beliau yang juga pernah menjadi seorang pensyarah sambilan untuk persijilan Chartered Financial Analyst (CFA) terus berharap akan dapat berusaha untuk melakukan yang lebih hebat jika pun tidak terhebat dan sentiasa menyumbang sejujurnya kepada masyarakat dunia sebaik yang termampu.

Aimee mengakhiri perbualan dengan nasihat “cemerlang sahaja dalam pelajaran tidak mencukupi untuk muncul hebat dalam membina kerjaya terutama di luar negara tetapi kelebihan dan impak sumbangan kita kepada sosio-ekonomi masyarakat sebagai suatu bentuk tanggungjawab sosial (‘civic duty’) Apa pun dan di mana pun kita menapak, sentiasa semat dalam hati, kita tetap anak Malaysia” Mungkin inilah pandangan jujur yang harus difikirkan semula oleh generasi muda kita di Malaysia jika mahu berjaya diperingkat global.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.