Bantu Produk Usahawan Tempatan Teroka Persada Global

Program Gate to Global merupakan platform terbaik buat usahawan Bumiputera perkenalkan produk tempatan dan halal ke persada dunia.

Oleh: Ziela Amin

KUALA LUMPUR, 17 September- MARA bantu meningkatkan keupayaan usahawan dalam aspek pengurusan perniagaan, pembangunan produk, pengukuhan penjenamaan dan pemasaran strategik yang dapat membawa produk tempatan ke persada global.

Menurut Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan MARA (BPU), Tuan Yahaya Bin Sani, Program Gate to Global (GTG) yang dilaksanakan Majlis Amanah Rakyat (MARA) sejak 2018 terbukti berjaya membantu usahawan Bumiputera untuk menembusi pasaran global sekaligus melonjakkan hasil jualan mereka.

Katanya, usaha GTG termasuklah dengan membawa usahawan di bawah MARA untuk menyertai pelbagai acara antarabangsa seperti Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) yang dianjurkan setiap tahun bermula 2004. Penganjuran MIHAS sebelum ini iaitu pada tahun 2019, MARA telah menghantar penyertaan usahawan seramai 24 usahawan dengan nilai kontrak dagangan sebanyak RM 13.21 juta.

“Pada tahun ini kita bawakan seramai 30 orang usahawan MARA di bawah GTG untuk menyertai MIHAS Virtual 2021 bermula 9 September sehingga 31 Disember 2021. Program GTG merupakan sebuah gerbang usahawan untuk mereka melebarkan sayap perniagaan ke peringkat global, yang mana pendedahan awal diberikan kepada usahawan Bumiputera untuk mendapatkan maklumat dan khidmat nasihat mengenai peluang pasaran eksport halal sehingga menembusi pasaran antarabangsa sama ada pasaran atas talian atau pasaran fizikal global.

“Kita seharusnya berada di hadapan dalam produk halal, kalau usahawan kita tiada sokongan dan perancangan yang strategik barangkali sukar untuk tembusi pasaran global. Kita tidak boleh biarkan mereka sendiri,” katanya.

Tambah Yahaya, semua usahawan yang terbabit dengan program GTG itu sudah melalui fasa latihan dan bimbingan sekaligus mempersiapkan mereka untuk berada seiring dengan produk antarabangsa.

MARA sebagai agensi yang bertanggungjawab membantu usahawan, telah menyediakan latihan dan program bersepadu yang sepatutnya untuk mengeksport produk mereka dengan kerjasama agensi- agensi kerajaan lain seperti MATRADE, Halal Development Centre (HDC) dan sebagainya.

Beliau mengulas, usahawan juga telah didedahkan dengan proses dokumentasi dan perundangan mengikut negara sasaran bagi tujuan pengeksportan serta kaedah berurusan dengan pembeli berpotensi di luar negara supaya segala urusan padanan perniagaan dapat mencapai kata sepakat antara pihak pembeli dan juga usahawan terbabit.

“Selain itu, MARA menerusi BPU mengadakan program GTG dengan usaha sama rakan strategik ini akan menyaring, memilih, membimbing dan memudah cara calon usahawan yang berkelayakan dan bersedia untuk menerokai pasaran eksport”.

“Usaha pembangunan keusahawanan yang dilaksanakan MARA adalah sangat signifikan kerana mempunyai ekosistem yang lengkap serta mudah diakses oleh semua golongan termasuklah usahawan dari luar bandar,”jelas Yahaya.

MIHAS VIRTUAL diadakan bermula pada 9 September hingga 31 Disember 2021. Untuk maklumat lanjut mengenai program dan pelbagai produk halal yang menepati piawaian antarabangsa, sila layari https://www.mihasvirtual.com.my atau media sosial rasmi MARA.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.