
Oleh: Ziela Amin
Seremban, 6 September- Kekangan belajar secara maya tidak menghalang bekas pelajar Kolej MARA Seremban (KMS) meraih keputusan cemerlang 3A* sekaligus dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik Keseluruhan (A Level Fast Track Programme) dalam Majlis Graduasi Maya KMS 2021 baru-baru ini.
Pelajar tersebut, Alif Azizi Abd Razak 19 berkata, setiap pelajar perlu positif menerima cara belajar norma baharu kerana ianya kaedah terbaik ketika pandemik ini.
“Walaupun keberkesanan belajar bersemuka dengan pensyarah lebih berkesan berbanding secara atas talian, tetapi kita perlu terima hakikat bahawa inilah yang terbaik buat masa ini. Kita tidak boleh tunggu pandemik ini reda, hidup mesti diteruskan dan perjalanan masih panjang.
“Jadilah yang paling kreatif, tidak boleh hanya bergantung kepada kelas online semata-mata. Pesan saya, kawan-kawan semua jangan putus semangat sebelum berjuang. Carilah kawan yang boleh dijadikan teman untuk berbincang dan ulang kaji. Boleh bincang walau secara maya.
“Jadikan diri aktif di whatsapp, telegram dan mana-mana platform komunikasi yang digunakan. Kita mestilah faham bahawa komunikasi atas talian ini lebih sukar berbanding komunikasi face-to-face. Kita mestilah rajinkan diri untuk sertai perbincangan atau membalas pertanyaan rakan-rakan kita sekerap yang boleh.
“Tonton video pembelajaran yang ada, jaga hubungan dengan guru dan pensyarah, mereka pasti bantu. Segala tugasan perlu dihantar untuk disemak. Pelajar perlu sentiasa ada engagement dengan guru dan usah biar kita ketinggalan.

“Paling penting hantar tugasan awal, bila kita tenang daripada tugasan yang last minute, kita akan kekalkan momentum dan semangat untuk belajar,”tegas Alif.
Tambah Alif, pokok pangkal adalah usaha dan kesungguhan diri sendiri. Para pelajar harus suntik semangat jati diri dan tidak cepat putus asa.
“Carilah keseronokan belajar, sediakan keadaan yang kondusif untuk belajar dan cipta masa serta fokus ulangkaji sendiri. Keadaan sekarang kita perlu pandai bahagikan masa dan manfaatkannya sebaik mungkin. Jangan terlalu leka, duduk dirumah ni kita terdedah dengan hiburan digital namun kita juga perlu relaks.
“Set alarm untuk bangun sebelum kelas pertama bermula. Kadang-kadang kita terlajak tidur, kalau masuk kelas lambat, selepas itu mood untuk satu hari menjadi negatif. Jadi, usahakan untuk bangun sebelum kelas pertama bermula,” tambah Alif.
Menurut Alif, beliau berasa amat bersyukur tempoh setahun setengah belajar di KMS mengajar beliau untuk berdikari. Program A Level Fast Track ini menuntut Alif bekerja keras untuk skor dalam setiap subjek. Segala cabaran harus dihadapi dengan tenang.
Anak bongsu daripada empat beradik ini pernah dianugerahkan Pelajar Terbaik SPM 2019 di MRSM Johor Bahru dan beliau menyimpan hasrat untuk menyambung pelajaran dalam bidang Mechanical Engineering di University of Sheffield, United Kingdom. Beliau berharap agar dapat menuntut ilmu dengan lengkap supaya lebih bersedia sebaiknya untuk memasuki alam pekerjaan.
Graduasi Maya KMS Pembakar Semangat

Majlis Graduasi Maya KMS telah disiarkan secara langsung di saluran Youtube rasmi Kolej MARA Seremban bagi meraikan kejayaan 56 graduan yang terdiri daripada 48 graduan kursus Kejuruteraan dan 8 graduan Sains Ikhtisas.
Alif menzahirkan perasaan terima kasih buat keluarga serta semua tenaga pengajar KMS atas tunjuk ajar dan sokongan yang diberikan. Beliau telah menerima Anugerah Pelajar Terbaik Keseluruhan dan Anugerah Subjek Terbaik Pengajian Islam.
Tambah Alif, majlis kali ini membawa satu kelainan di mana beberapa sedutan Majlis Graduasi 2021 telah diadakan secara langsung. Antaranya adalah ucapan Pengarah Kolej MARA Seremban, Dr Sa’aidah binti Abd Rahman yang telah disiarkan secara lintas langsung dari Kolej MARA Seremban. Satu gimik siaran langsung turut diadakan di mana dilihatkan secara maya seolah-olah graduan telah menerima sijil kecemerlangan dan sijil tamat pengajian daripada Pengarah Kolej MARA Seremban.
“Walaupun diadakan secara dalam talian, graduasi kali ini terasa meriahnya kerana apabila nama diumumkan, graduan muncul di skrin dengan wajah gembira bersama keluarga masing-masing. Kami semua tetap dirai walau secara maya.
“Seronok apabila nama setiap graduan disebut, terpapar kegirangan kami. Syukur sangat kami tetap dirai dan ini pastinya bakar semangat kami untuk terus cemerlang,”ujar Alif gembira.