PROGRAM MARA PRIHATIN BANTU USAHAWAN PULIH PERNIAGAAN

Dato’ Azizah (dua dari kanan) melancarkan Program Khas Keusahawanan MARA ketika menghadiri sesi penyerahan MARA Bantu Usahawan Inisiatif Tambahan PEMULIH di Kota Kinabalu, Sabah

Oleh : Salwa

media@mara.gov.my

Kuala Lumpur, 02 September – Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyambut baik dana yang diperuntukkan oleh kerajaan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) dalam usaha membantu usahawan di bawahnya yang terjejas ekoran pandemik COVID-19. Di bawah agensi ini, tiga pakej bantuan disediakan menerusi Program MARA Prihatin iaitu penjadualan semula bayaran balik pembiayaan MARA, diskaun sewa kepada penyewa premis perniagaan MARA serta kemudahan pembiayaan perniagaan, Skim Pembiayaan Prihatin Mikro (S3P).

Pengerusinya, YB Dato’ Hajah Azizah Mohd Dun berkata, “inisiatif yang dilaksanakan ini diharap dapat digunakan sebaik mungkin oleh usahawan bagi menyusun semula strategi untuk bangkit semula dalam perniagaan di samping memastikan pekerja-pekerja mereka terus mendapat sumber pendapatan.”

Memahami kesukaran yang dihadapi oleh usahawan pada masa ini, MARA turut melaksanakan beberapa inisiatif tambahan seperti pengecualian bayaran sewa premis bagi tempoh 3 bulan yang telah bermula pada Julai hingga September 2021, program pemasaran secara online melalui BIZNETWORK serta beberapa siri latihan keusahawanan yang dijalankan secara online.

Di bawah inisiatif PEMULIH, kerajaan telah menyalurkan dana pembiayaan  sebanyak RM50 juta secara one off melalui Skim Pembiayaan Prihatin Mikro (S3P) yang mana sehingga ke hari ini seramai 1,169 usahawan telah menerima manfaat dengan peruntukan sebanyak RM42 juta. Manakala, seramai 5,913 penyewa telah menerima manfaat pengecualian dan diskaun sewa premis bagi tempoh 6 bulan yang melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM14.9 juta. Bagi inisiatif penjadualan semula bayaran balik pembiayaan perniagaan, seramai 7,388 usahawan telah menerima manfaat dengan implikasi kewangan sebanyak RM21.2 juta.

Sejak penularan wabak COVID 19 melanda negara awal tahun lalu, MARA telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menyokong usaha kerajaan memastikan kesejahteraan hidup rakyat. Secara keseluruhan, seramai 115,448 individu telah menerima manfaat dengan implikasi kewangan sebanyak RM416.03 juta melalui Pakej PRIHATIN, PENJANA, PEMERKASA dan PEMULIH. 

“Saya berharap inisiatif program pemulihan usahawan yang telah dilaksanakan oleh MARA dapat melegakan keresahan usahawan dan kemudahan tersebut dapat dimanfaatkan dengan menyusun semula strategi perniagaan untuk kembali bersaing di pasaran.

“MARA juga berharap usaha pemulihan usahawan secara berterusan ini akan mendapat sokongan daripada semua pihak agar prestasi dan kemampanan usahawan Bumiputera dapat terus dipertingkatkan,” tambah Azizah lagi.

Sebelum ini, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Pengerusi MARA, Ketua Setiausaha KPLB, Ketua Pengarah MARA serta beberapa Exco Kerajaan Negeri telah turun padang bagi meninjau sendiri perniagaan penyewa di samping mendapatkan pandangan serta maklum balas daripada komuniti usahawan bentuk bantuan lain yang diperlukan. Beliau turut menyampaikan surat pengecualian bayaran sewaan premis serta cek kemudahan pembiayaan kepada beberapa usahawan berkaitan semasa sesi tersebut.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.