Peniaga PKS Bangkit Lebih Kuat Dengan Insentif MARA- Pengerusi MARA

Oleh: Ziela Amin

Dato’ Hajah Azizah (kiri) bersama Faineh Modirim wakil usahawan wanita Sabah

Sabah, 23 Ogos – “Peniaga kecil dan sederhana (PKS) bangkit lebih kuat dan terus bertahan dengan insentif MARA,”kata Dato’ Hajah Azizah, Pengerusi MARA ketika ditemui dalam program MARA Bantu Usahawan, Inisiatif Tambahan PEMULIH Peringkat MARA Negeri Sabah.

Menurut Azizah, melalui program tersebut, pengecualian bayaran sewa selama tiga bulan diberikan kepada 5,913 penyewa premis perniagaan milik MARA seluruh negara mulai Julai hingga September tahun ini dijangka dapat membantu peniaga untuk bangkit semula selepas terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Pengecualian sewa itu dilihat sebagai satu penjimatan kos operasi kedai, sekaligus membantu usahawan terus bangkit untuk merancakkan perniagaan yang terjejas teruk sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Selain itu, MARA juga menawarkan diskaun sewa premis MARA sebanyak 30 peratus bagi meringankan beban para penyewa,”jelas Azizah.

Melalui program MARA Bantu Usahawan Inisiatif Tambahan PEMULIH ini juga, Skim Pembiayaan Perniagaan Prihatin Mikro (S3P) telah diperkenalkan bagi membantu usahawan Bumiputera meneruskan kelangsungan hidup serta mempertingkatkan daya tahan perniagaan mereka.

Azizah berkata, seramai 113 orang usahawan di negeri Sabah telah menerima manfaat ini melibatkan peruntukan berjumlah RM3.39 juta ringgit. Sepanjang tempoh PKP, insentif MARA ini  dapat membantu usahawan membiayai keperluan belanja mengurus dan modal pusingan perniagaan.

Tambah beliau, bagi membantu usahawan wanita pula, MARA memperkenalkan Skim Pembiayaan DanaNita iaitu kemudahan khusus untuk usahawan wanita yang memerlukan bantuan bagi memajukan serta mempertingkatkan perniagaan dengan nilai pembiayaan sehingga maksimum berjumlah RM150,000.

Sementara itu, menurut seorang usahawan AORA SPA Suziah Salwanie Sahipin, pengecualian bayaran sewa selama 3 bulan itu memberi kelegaan buat beliau. Pembiayaan perniagaan MARA yang diterima hari ini mampu memulihkan perniagaannya yang terhenti sejak sekian lama.

“Semasa pandemik ini kami masih belum boleh beroperasi, tetapi dengan moratorium yang MARA berikan ini maka kami diberi tempoh untuk bernafas dan itu sangat membantu kami yang sangat terkesan semasa pandemik ini,” jelas Suziah.

MARA turut fokus membantu usahawan ke arah pendigitalan, menyediakan latihan bagi usahawan yang ingin mempelbagaikan cabang serta meluaskan rantaian perniagaan di samping mengadakan kerjasama strategik bersama agensi kerajaan dan swasta bagi memastikan usahawan Bumiputera terus kukuh.

Inisiatif yang dilaksanakan ini bukan sekadar membantu perniagaan untuk kekal bertahan, tetapi juga bagi memastikan peluang pekerjaan dapat terus diwujudkan.

This entry was posted in Usahawan and tagged . Bookmark the permalink.