MARA Tawar Usahawan Penuhi Standard Produk – BEST

uc

Oleh : Haryati Husin

media@mara.gov.my

Kuala Lumpur, 24 Ogos 2021 – Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah memperkenalkan satu lagi program bagi meningkatkan kualiti dan standardisasi produk dan perkhidmatan yang dikeluarkan oleh usahawan Bumiputera melalui pensijilan dan pengiktirafan daripada pihak berautoriti yang berkaitan. Program Business Enrichment, Standardization and Transformation (BEST) yang diperkenalkan pada awal Januari lalu merupakan satu platform khusus kepada usahawan yang ingin meningkatkan standardisasi dan produktiviti produk dan syarikat seterusnya menembusi pasaran yang lebih luas samada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan, En. Yahaya Sani berkata, “Kita mahu usahawan Bumiputera mencapai standardisasi produk dan perkhidmatan bagi meningkatkan daya saing dan pertumbuhan ekonomi usahawan untuk ke peringkat seterusnya. Ia juga bagi meningkatkan nilai tambah kepada produk dan syarikat dengan memenuhi syarat-syarat dalam mendapatkan sijil pengiktirafan daripada pihak berautoriti. Seterusnya juga, ia bagi memastikan produk mempunyai kualiti standard yang diiktiraf melalui penjenamaan, pembungkusan dan lain-lain.”

Program ini mensasarkan usahawan yang memiliki perniagaan yang berpotensi untuk berkembang serta boleh memberikan komitmen sepenuhnya terhadap proses-proses yang perlu diambil bagi pensijilan produk serta perkhidmatan yang berkaitan. Usahawan yang berhasrat untuk memiliki pensijilan atau pengiktirafan daripada pihak Agensi Kerajaan atau industri yang memberi impak tinggi kepada usahawan/syarikat akan diberi pilihan untuk mendapatkan kemudahan yang disediakan merangkumi Program Latihan Pensijilan, Progam Khidmat Pemudah Cara Pensijilan dan Program Business Coaching Pensijilan.

BEST POSTER 1

En. Yahaya turut menjelaskan,“Apa yang istimewanya, semasa tempoh pandemik Covid-19 ini, MARA menawarkan insentif di mana usahawan hanya perlu membiayai 5% sahaja daripada keseluruhan kos pensijilan atau pengiktirafan, manakala baki 95% akan dibiayai sepenuhnya oleh MARA. Kita juga membenarkan perniagaan yang beroperasi kurang daripada 6 bulan untuk memohon kemudahan ini.”

“Jadi, saya menyeru kepada para usahawan di luar sana untuk merebut peluang ini bagi meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan agar boleh bersaing di pasaran domestik dan antarabangsa. Sehingga Julai 2021, MARA telah melaksanakan 235 program merangkumi Latihan Pensijilan dan lebih 800 permohonan bagi mengikuti program ini telah diterima oleh pihak kami yang mana sebahagian daripadanya telah diluluskan,” tambah En. Yahaya lagi.

Untuk maklumat lanjut tentang syarat dan tatacara permohonan Program Pensijilan Usahawan – BEST, sila layari https://aplikasi.mara.gov.my/myusahawan/

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.