
Oleh: Ziela Amin
Perak, 15 Ogos- “Lega, kami masih boleh berniaga,” jelas Mohamed Khidzir Baharuddin pemilik Cafe Kelab Sultan Idris, Kuala Kangsar. Beliau yang merupakan salah seorang penerima kemudahan Pembiayaan Perniagaan Prihatin Mikro MARA (S3P), menghela nafas lega kerana perniagaan restorannya masih boleh bertahan.
Menurut Khidzir, biarpun kerajaan melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi sebelum ini, namun peniaga kecil dan sederhana (PKS) tetap diberi peluang meneruskan perniagaan menampung keperluan hidup sekaligus memberi kelegaan buat beliau.
“Syukur sangat masih diberikan peluang untuk meneruskan perniagaan makanan sepanjang tempoh PKP, dengan bantuan ini maka dapat saya membiayai keperluan belanja mengurus dan modal pusingan restoran.
“Saya berniaga masakan panas dan ala western di sini hampir 10 tahun. Sebelum ni ada juga terima tempahan catering. Bila PKP memang terkesan, pelanggan yang datang pun berkurangan berbanding sebelum ini. Namun perniagaan saya masih bertahan.

“Apa yang penting sekarang adalah strategi pertingkatkan jualan. Setakat ini saya masih lagi mampu meneruskan kelangsungan hidup serta bayar gaji 10 orang pekerja saya,”katanya ketika ditemui semasa simbolik penyerahan Cek Pembiayaan Skim Prihatin MIKRO yang berjumlah RM50, 000.00 di Arked Kuala Kangsar.
Manakala pekerja Shayatie Izz Delights Cake, Raayah Kemon berkata, beliau amat bersyukur kerana masih boleh mencari rezeki memandangkan kedai kek tempat beliau bekerja masih beroperasi seperti biasa. Beliau yang mewakili majikannya serta penyewa Arked Kuala Kangsar berterima kasih kepada kerajaan dan MARA atas pemberian diskaun 30 peratus ke atas sewaan premis perniagaan MARA bagi tempoh 6 bulan. MARA juga turut menyediakan inisiatif tambahan kepada penyewa dengan memberikan pengecualian sewa selama 3 bulan.
“Ini adalah berita gembira buat semua penyewa, inisiatif ini pasti dapat membantu semua penyewa fokus kepada peningkatan jualan memandangkan arked tersebut tidak lagi menerima kunjungan orang ramai disebabkan PKP,” kata Saayah.
Untuk rekod, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, YBhg. Dato’ Dr. Ahmad Jailani bin Muhamed Yunus hadir menyampaikan simbolik penyerahan Surat Tawaran Moratorium Penyewaan Premis Perniagaan MARA dan Cek Pembiayaan Skim Pembiayaan Prihatin Mikro MARA (S3P) di Arked MARA Kuala Kangsar hari ini diiringi Pengarah MARA Negeri Perak, Puan Lailatul Asmah binti Mohd Tahir.