
Oleh : Haryati Husin
media@mara.gov.my
Kuala Lumpur, 14 Ogos 2021 – U.n.i Klinik sekali lagi diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab bagi mengendalikan proses pemberian vaksin dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Taman Tamadun Islam (TTI), Terengganu. Proses pemberian vaksin di PPV TTI ini telah mula dibuka pada Selasa lalu dengan mensasarkan suntikan maksimum sebanyak 4,000 sehari.
Wakil daripada U.n.i Klinik, Dr. Nazif Nor Rahim berkata, “Kepercayaan yang diberikan ini merupakan satu pengiktirafan kepada U.n.i Klinik dalam menyokong usaha kerajaan untuk mempercepatkan proses vaksinasi bagi membendung penularan Covid-19 sekali gus membentuk imuniti berkelompok. Tanggungjawab ini bukan sahaja satu penghargaan tetapi satu pengalaman baharu dalam memastikan operasi dan proses pemberian vaksin berjalan dengan lancar.”
“Ini merupakan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ketiga melibatkan U.n.i Klinik selain daripada mengendalikan suntikan di beberapa cawangan klinik berkenaan. Bagi PPV TTI, urusan pengendalian vaksinasi akan dikawal selia oleh U.n.i Klinik cawangan pantai timur,” tambah Dr. Nazif.
Sebelum ini, U.n.i Klinik telah mengendalikan proses pemberian vaksin di World Trade Centre Kuala Lumpur dan di Muar, Johor serta beberapa rangkaian klinik tersebut yang telah berdaftar sebagai PPV. U.n.i Klinik turut terlibat dalam Program PPV bergerak menggunakan bas MARA Liner sebagai usaha memastikan komuniti masyarakat di kawasan pedalaman atau luar bandar khususnya masyarakat orang asli mendapat akses kepada pendaftaran dan suntikan vaksin.
U.n.i Klinik merupakan rangkaian klinik yang dibangunkan melalui Program Pembangunan Usahawan Profesional (ProSPEC) Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi meningkatkan penyertaan usahawan serta pegangan ekuiti Bumiputera dalam bidang profesional seperti perubatan, farmasi, kejuruteraan, guaman, perakaunan, senibina dan juruukur bahan. Setakat hari ini, ProsPEC telah berjaya membangunkan 35 rangkaian klinik di seluruh semenanjung Malaysia termasuk satu di Sarawak, 10 rangkaian farmasi dengan jenama U.n.i Farmasi serta dalam proses membangunkan U.n.i Dental.
Dr Nazif Nor antara 35 usahawan profesional yang dibangunkan melalui program ini telah berjaya memiliki kliniknya sendiri di Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan. Menurut beliau, “Menerusi program ini, saya berpeluang meneroka ilmu baru ke arah usahawan profesional yang dilengkapi dengan skil keusahawanan dan bukan sekadar merawat pesakit sahaja.”
“MARA tidak hanya menyediakan kemudahan pembiayaan dan pembelian barangan serta mesin di klinik, tetapi pelbagai bantuan lain termasuk kursus pemasaran dan sokongan serta bimbingan dalam perniagaan hingga kini,” jelas Dr. Nazif.
“Saya berharap MARA akan meneruskan program ini agar lebih banyak rangkaian klinik, farmasi, klinik pergigian serta lain-lain bidang berkaitan kesihatan dapat dibangunkan dan kemudiannya digabungkan menjadi hospital yang lengkap,” tambah beliau lagi.
Dua hari lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meluangkan masa meninjau sendiri proses pemberian vaksin yang dikendalikan oleh U.n.i Klinik di PPV TTI tersebut.
