Angan-angan Raja Akif Tercipta | Anak Malaysia Penerima Anugerah Professor Barnes McCormick Vertical Flight Foundation Scholarship 2021, Amerika Syarikat.

Raja Akif merupakan pelajar tajaan MARA yang dinobatkan Penerima Anugerah Professor Barnes McCormick Vertical Flight Foundation Scholarship 2021

Oleh: Akmal Azlan | akmal.azlan@mara.gov.my

Kuala Lumpur, 14 Ogos 2021 – “Sejak dari kecil, saya memang gemar ke lapangan terbang untuk melihat pesawat kapal terbang dan helikopter berlepas serta mendarat. Berangan-angan juga agar dapat menceburi bidang aeroangkasa.” Itulah ungkapan inspirasi anak muda Malaysia, Raja Akif Raja Zahirudin yang merupakan penerima Anugerah Professor Barnes McCormick Vertical Flight Foundation Scholarship 2021.

Menurut laporan Pejabat MARA di Amerika Syarikat, pada bulan April 2021, Raja Akif telah dianugerahkan Professor Barnes McCormick Vertical Flight Foundation Scholarship oleh Vertical Flight Society. Beliau terpilih pada tahun ini sebagai antara senarai 27 orang pelajar kejuruteraan berbakat di dunia yang terlibat dalam bidang teknologi penerbangan vertikal atau “27 of the world’s most talented engineering students interested in vertical flight” (VFS Press Release, 2021).

Raja Akif Bin Raja Zahirudin, 28, atau lebih dikenali Akif telah melanjutkan pengajian di Pennsylvania State University, Pennsylvania, USA dari tahun 2012 hingga 2016 di bawah program Skim Pinjaman Pelajaran (SPIP) MARA selama empat tahun dalam jurusan Kejuruteraan Aeroangkasa (Aerospace Engineering) diperingkat B.Sc.

Beliau kemudian meneruskan pengajian diperingkat Masters di bawah tajaan Yayasan Daya Diri dan kini sedang menjalankan pengajian diperingkat PhD in Aerospace Engineering di Penn State di bawah tajaan pelajaran MARA.

“Minat saya yang mendalam dalam bidang Aeroangkasa ini mendorong diri saya untuk menimba ilmu dengan gigih dan memanfaatkan peluang kemudahan pelajaran yang diberikan oleh pihak MARA untuk merealisasikan impian saya menjadi salah seorang pakar dalam bidang ini,” kata Akif.

“Kini, saya bertugas sebagai Graduate Research Assistant di Penn State di mana saya berpeluang melibatkan diri dalam pelbagai kajian dan projek.” Raja Akif pernah terlibat dengan kajian untuk projek NASA JHU-APL Dragonfly yang bertujuan menghantar sebuah dual-quadcopter ke Titan iaitu salah satu bulan planet Saturn dijangkakan pada tahun 2027.

“Pengalaman berkolaborasi dengan beberapa research center NASA merupakan antara pengalaman belajar yang paling berharga bagi saya,” ujar beliau dengan penuh bersemangat. Raja Akif pernah berkolaborasi dengan NASA Ames Research Center dalam kajian mengenai konsep rotor senyap iaitu “Anti-Phase Vortex Reduction Control for Rotor Noise Suppression.”

Raja Akif pada masa ini juga sedang berkolaborasi dengan NASA Langley Research Center untuk mengkaji kelebihan dari sudut akustik dan prestasi penerbangan yang dihasilkan oleh konfigurasi coaxial co-rotating pada kenderaan eVTOL (Electric Vertical Takeoff and Landing).

Pada masa hadapan, Raja Akif mempunyai impian untuk mengambil sebanyak mungkin pengalaman dan kepakaran teknologi di sini agar dapat memberi sumbangan kepakaran bidang baharu ini kepada negara Malaysia.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.