
Oleh: Akmal Azlan
Kuala Lumpur, 5 Ogos 2021 – Kejohanan Worldskill Russia kali yang Ke-9 dalam bidang Rapid Prototyping dijuarai oleh saudara Hood Haqqi Bin Adzlan, pelajar Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Kuantan dengan memperoleh pingat emas serta dinobatkan juara dalam pertandingan tersebut.
Pelajar semester 4 dalam Program Diploma In Manufacturing Engineering (Manufacturing Design) itu menjadikan Malaysia berada di tangga pertama daripada 15 buah negara yang bertanding apabila berjaya memungut markah sebanyak 550 poin. Pertandingan ini telah berlangsung pada 22 hingga 25 Julai serta diadakan secara maya sahaja.
Kemenangan yang diraih oleh Hood Haqqi juga turut mendapat sokongan dan tunjuk ajar daripada pakar negara dan juga tenaga pengajar dalam Rapid Prototyping beliau iaitu Encik Mohd Asnawi Bin Omar.
Menurut Hood Haqqi, beliau berasa bangga dan tidak menyangka bahawa pencapaian prestasi dalam pertandingan tersebut telah berjaya memungut markah tertinggi sehingga menempatkan nama Malaysia pada tangga pertama serta secara tidak langsung menaikkan nama Malaysia diperingkat dunia.
“Perasaan kami agak terkejut dan berasa bangga kerana tidak menyangka keputusan terpapar sedemikian. Saya berasa sangat bersyukur kerana kejayaan ini bukanlah bagi pihak saya dan KKTM tetapi ia juga sebuah kejayaan buat negara Malaysia yang mampu menandingi negara-negara hebat di luar sana,” ujar Hood Haqqi dengan syukur.
Meskipun dunia dan negara dilanda krisis kesihatan COVID-19, perkara ini tidak membatasi semangat beliau untuk melakukan siap siaga sebelum beraksi di dalam kejohanan yang diadakan secara maya itu. Atas dasar semangat yang jitu dan kesungguhan untuk mengharumkan nama Malaysia, pelajar ini memberi komitmen sepenuhnya untuk mempelajari, mengasah kemahiran, meningkatkan sesi latihan bersama pakar negara di KKTM Kuantan.
“Saya juga memastikan momentum dan konsistensi adalah kekal dan untuk memberi fokus sepenuhnya dalam sesi latihan. Semasa sesi latihan minggu yang terakhir, saya bernekad untuk menutup atau “delete” akaun media sosial demi meningkatkan penumpuan semaksima yang mungkin untuk berhadapan dengan saingan hebat dari luar negara,” katanya lagi.
Beliau turut tidak menyangkal bahawa cabaran yang dilalui dalam perjalanan ini amatlah sukar dari bermula hingga akhir pertandingan. Antara cabaran yang Hooq hadapi ialah terpaksa mengorbankan masa dan tenaga untuk hadir ke KKTM sebulan awal untuk membuat persiapan di makmal amric bersama pakar negaa, En Asnawi Omar.
“Saya harus meningkat dan menguasai kemahiran dalam penggunaan mesi CNC 3 Axis, mesin vacuum casting, dan 3D printer supaya memberi prestasi yang terbaik buat Malaysia,” kata Hood.
Hood Haqqi turut berpuas hati dan bersyukur apabila menjadi pelajar KKTM di bawah TVET MARA yang sememangnya menjadi kelebihan kepada beliau serta pelajar lain untuk menerima sistem pendidikan TVET yang berkualiti.
“Bagi saya, belajar di KKTM ini satu kelebihan kepada diri saya untuk mencapai tahap ini. Saya akui bahawa subjek atau silibus yang saya pelajar di sini sangat membantu saya menguasai kemahiran dalam Rapid Prototyping, produk modelling, CADCAM, CNC, dan pelbagai lagi,” tambahnya lagi.
Menurut pakar negara Rapid Prototyping dan tenaga pengajar di KKTM Kuantan, Asnawi Omar berkata, penerapan Skillset seperti permesinan CNC, percetakan 3D, permesinan teknik acuan tekan, kaedah kekemasan pembacaan ketepatan pengukuran adalah amat penting bagi membentuk kemahiran itu kepada para pelajar KKTM.
“Persiapan bagi pihak saya untuk mengetengahkan peserta kita ke peringkat ini adalah dengan membuat ulangkaji dan latihan permesinan agar mereka boleh menterjemah dan menyelesaikan kesemua kemahiran seperti yang dinyatakan oleh saya tadi,” kata Asnawi Omar.
“Saya juga telah melihat potensi dan kelebihan Hood Haqqi dari aspek penguasaan teknologi terkini yang juga didedah serta diterapkan dalam sistem pendidikan KKTM. Selain itu, pemilikan dan penggunaan teknologi bertaraf dunia yang ada di KKTM kami adalah satu nilai tambah buat para pelajar meningkatkan daya saing terhadap negara maju seperti di Jerman, Jepun, dan USA,” tambah Asnawi lagi.
Pendidikan TVET MARA yang berteraskan kepada Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) kepada kesemua pelajar adalah signifikan dan relevan bagi meningkatkan keupayaan, kompetensi, dan kebolehan untuk menguasai bidang-bidang teknologi moden yang menjadi teras penting kepada kemajuan negara Malaysia.
Asnawi turut merasakan keberkesanan itu apabila beliau menyatakan bahawa peserta ini telah pun didedahkan kepada kepakaran tersebut semasa menjalani proses pembelajaran di KKTM Kuantan dan menjadi peluang besar untuk menang amatlah cerah.
“Pada masa sekarang ,TVET MARA adalah salah satu perjalanan kerjaya yang dipandang tinggi memandangkan kebanyakan teknologis bilionaire seperti Bill Gates (Software Windows), Steve Job (Apple Hardware) dan Elon Musk (Hardware Tesla) adalah berlatar belakangkan kepada kemahiran itu sendiri. Di luar negara khususnya negara Germany (Industri permesinan), USA (Silicone Valley), Arab Saudi (Saudi Aramco), Korea (Samsung), adalah sebuah negara yang berorientasikan kepada pengeksport kemahiran dan teknologi yang paling tinggi di dunia.
Oleh itu, pelajar pelajar perlu merebut peluang ini untuk mempelajari kemahiran dan teknologi terkini agar berdaya saing di bidang pekerjaan teknikal samada di dalam dan luar negara,” kata Asnawi.
Wira negara Malaysia dalam Worldskill Russia, Hood Haqqi juga berpesan kepada kepada anak-anak muda sekarang agar terus bangkit dan tidak membuang masa muda hari ini dengan perkara yang tidak berfaedah dan berlebihan dalam perkara yang melalaikan.
Belia turut berharap agar kejayaan seperti ini dapat diraihkan oleh anak-anak muda melalui sistem TVET MARA yang menjadikan mereka lebih berfikir secara luar kotak, berinovasi, dan memberi sumbangan besar buat negara Malaysia.