Oleh: Ziela Amin

Mersing, 1 Ogos – Program pemberian vaksin kepada penduduk Kampung Sri Lumpur, Kampung Sungai Muka 2 dan Kampung Bahagia telah bermula hari ini dengan mensasarkan 1,000 orang penerima. Program ini adalah kolaborasi antara Pejabat Daerah Mersing, KKM, KPLB dan juga MARALiner Sdn. Bhd. (MLSB).
Menurut Pengarah MARA Negeri Johor Nor Uyon Shoib, MLSB telah menyediakan sebuah bas PPV bergerak bagi menjayakan program ini. Usaha dan inisiatif ini dapat meningkatkan lagi tahap capaian Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kepada golongan komorbid dan luar bandar.
“Bas vaksin ini bergerak terus kepada masyarakat luar bandar dengan mensasarkan warga emas, orang kurang upaya, peniaga kecil, pekerja yang terdedah dengan Covid 19 serta penduduk sekitar. Usaha ini secara tidak langsung membantu usaha kerajaan mencapai imuniti kelompok.
“Kalau mereka hendak tunggu panggilan daripada PPV mungkin mengambil sedikit masa. Ada yang sudah daftar tapi masih menunggu. PPV bergerak ini dapat memudahkan penduduk untuk tidak menunggu giliran terlalu lama,”jelas Nor Uyon.
Tambah beliau, tinjauannya mendapati program ini mendapat sambutan baik daripada penduduk. Ramai yang datang awal dan bersiap sedia untuk divaksin. Program seperti ini perlu diteruskan mengambil kira pelbagai kekangan yang dihadapi mereka. Program vaksinasi di PPV Taman Sri Bayu diteruskan sehingga 2 Ogos 2021.
Hadir sama membuat tinjauan di PPV tersebut, YB Hajah Alawiyah binti Talib, ADUN Endau.