MARA PRIHATIN 3.0 : PROGRAM IMUNISASI COVID-19 KEBANGSAAN

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang bermula sejak Februari 2021 sehingga Jun 2021 telah mencatatkan sekitar 8 juta dos vaksin telah selesai diberikan kepada rakyat Malaysia. Daripada data yang diperoleh, kadar purata vaksinasi pada bulan Jun telah mencecah hampir 170 ribu suntikan sehari melepasi sasaran 150 ribu.

Pada penghujung Mei lalu, jumlah individu yang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin adalah sebanyak 5.9 peratus populasi negara manakala pada bulan Jun berjumlah 18 peratus dan ianya bermaksud  penerima dos pertama meningkat sebanyak 200 peratus.

Bagi memastikan usaha kerajaan melalui PICK ini tercapai, MARA Prihatin 3.0 mengambil inisiatif dengan mewujudkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bergerak dalam usaha membantu kerajaan mempercepatkan proses vaksinasi khususnya di kalangan masyarakat luar bandar.

Sebanyak 17 bas ekspres MARA Liner telah diubah suai menjadi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bergerak dengan setiap unit PPV bergerak mempunyai sembilan kaunter vaksinasi termasuk satu untuk golongan orang kurang upaya (OKU). Dianggarkan dalam tempoh 10 jam, sebanyak 1,200 dos dapat diberikan.

Sehingga kini, sejumlah 315 orang telah menerima vaksin melalui PPV bergerak ini yang telah mendarat di Orang Asli One Stop Centre (OAOSC) Bawong Sungai Siput, Perak dan Kampung Orang Asli Tanah Abang, Mersing Johor. Lokasi seterusnya PPV bergerak MARA Liner adalah Bukit Payong, Alor Gajah Melaka.

Uniknya, setiap PPV bergerak ini dilengkapkan lagi dengan kehadiran doktor dan jururawat dari U.n.i KLINIK, iaitu rangkaian klinik yang dibangunkan melalui Program Pembangunan Usahawan Profesional (ProSPEC) di bawah MARA.

U.n.i KLINIK juga merupakan antara lima fasiliti perubatan swasta yang telah dilantik kerajaan untuk menguruskan pemberian vaksin Covid-19 di PPV Mega World Trade Centre (WTC). Hasil daripada perkhidmatan yang cemerlang di PPV WTC, U.n.i KLINIK kini telah diiktiraf sebagai klinik yang memberikan vaksin secara terus kepada rakyat di beberapa negeri lain.

oleh : Ierwan ismail

media@mara.gov.my

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.