Pensyarah KKTM Sri Gading Raih 3 Emas, 2 Perak dan 2 Gangsa di (V-MIIEx) 2021

Oleh: Ziela Amin

Salah satu produk yang memenangi pingat emas, Interlocking Eco Brick

Melaka, 2 Julai- Pensyarah KKTM Sri Gading telah melakar sejarah dengan merangkul 3 emas, 2 perak dan 2 gangsa dalam pertandingan Virtual-Melaka International Intellectual Exposition (V-MIIEx) 2021. Pertandingan ini diadakan bermula pada 1 April hingga 6 Jun 2021 dan pemenangnya telah diumumkan pada 2 Julai 2021.

Pertandingan V-MIIEx 2021 merupakan program inovasi anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka yang telah disertai oleh semua IPTA seluruh Malaysia. Ianya bertujuan untuk mengetengahkan inovasi dan penyelidikan yang dihasilkan oleh pensyarah program di samping memupuk budaya inovasi dan kreativiti dalam kalangan ahli akademik. Peserta akan mempamerkan produk dan hasil kajian mereka untuk dinilai oleh pakar dari industri. Berikutan pandemik Covid-19, pertandingan ini dijalankan sepenuhnya secara dalam talian.

Secara keseluruhan, tiga produk telah merangkul emas iaitu EZT Tool merupakan alat pemasang jubin lantai yang mengunakan prinsip cepat, mudah dan tepat, Interlocking Eco-Brick V2 (IEB) yang merupakan inovasi penggunaan lebihan bijih besi terbuang yang dimasukkan ke dalam bata mengunci (IEB) untuk meningkatkan kekuatan mampatan bahan binaan dan Composite Roof Tile adalah inovasi yang mengubahsuai atap genting sedia ada dengan menambah satu lapisan penebat haba menggunakan cellulose fibre.

Selain itu, dua produk mereka turut memenangi pingat perak, Trash Trap for Sump Drainage Maintenance Devices iaitu sebuah perangkap sampah yang mampu melestarikan sistem perparitan dan Sistem Pemantauan Tenaga Suria Internet of Things (IoT) yang berfungsi  mengumpulkan data dari suhu panel photovoltan, voltan bateri, arus beban serta kuasa.

Manakala dua lagi produk memperoleh pingat gangsa iaitu Augmented Reality for Construction Technology merupakan alat pembelajaran yang lebih efektif berbanding modul yang digunakan di dalam kuliah dan DTG-Pull Out Tool For Jkr/Mackintosh Probe Rod sebagai alatan yang diinovasikan bagi menentukan kekuatan tanah.

Menurut salah seorang pemenang pingat emas, Pensyarah KKTM Sri Gading, TS Mohd Zulkefly bin Hamzah berkata, banyak cabaran yang perlu ditempuh ketika membuat persiapan sesuatu produk memandangkan pandemik Covid-19 menghalang peserta untuk bersemuka bagi menyiapkan projek masing-masing.

“Bukan hanya cabaran ketika penyertaan berlangsung, malah cabaran bekerja dari rumah menyulitkan para pensyarah di KKTMSG untuk bertemu dan menyediakan keperluan pertandingan.

“Namun, langkah signifikan diambil oleh KKTMSG dengan memantapkan sistem digitalisasi dalam setiap aspek akademik dan pentadbiran. Kami tubuhkan Jawatankuasa Digitalisasi yang banyak  membantu dan menambahbaik sistem pembelajaran di KKTM SG. Sesi pembentangan kami berjalan dengan lancar.

 “Kami juga wujudkan Sistem Pengajaran Online kesemua subjek melalui Microsoft Team, Video Youtube 6 Video – 1 Lecturer (1 LIVE) dan Siri Webinar yang sering dianjurkan setiap minggu di KKTMSG,” kata Zulkefly.

Tambah beliau, apabila semua pensyarah mahir dalam penyediaan segala keperluan akademik secara online, maka ini sedikit sebanyak membantu proses penyediaan bahan inovasi dengan hanya bekerja dirumah.

“Bukan senang untuk berbincang secara maya ni. Tambahan pula ada perkakas serta bahan yang perlu disediakan dan dikaji. Ianya menuntut kehadiran pensyarah untuk meneliti setiap produk.

“Tapi ada baiknya juga, kami belajar adaptasikan suasana yang baharu dan berjaya mengatasi setiap dugaan. Kini, pelaksanaan digitalisasi sedikit sebanyak merubah cara bekerja warga  KKTMSG,” jelas beliau yang juga merupakan Penyelaras Inovasi Teknikal KKTMSG.

Zulkefly yang mewakili rakan-rakan lain menegaskan bahawa pengurusan masa yang efisien, kerja tidak tertangguh (agile) merupakan rahsia di sebalik kejayaan ini. Pertemuan setiap minggu semua staf melalui siri webinar memantapkan kemahiran (skillset) staf dan pensyarah dalam melaksanakan tugas hakiki masing-masing. Tahniah dan syabas buat semua pemenang.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.