Oleh: Ziela Amin
Beseri, 2 Julai – Muhamad Ikmal Arif bin Ahmad Basirun 18, bukan sahaja bijak mendapat 9A dalam SPM 2020, bahkan dikurniakan bakat yang luar biasa kerana berkebolehan untuk menggubah lagu serta menerbitkan buku.
Seawal umur 17 tahun, bekas pelajar MRSM Beseri ini sudah menerbitkan sebuah buku yang berjudul “Road to Success, SPM” edisi pertama. Tujuan utama buku ini dihasilkan adalah untuk menjejak dan mengukur prestasi akademik pelajar SPM semasa PDPR.
“Semasa sesi pembelajaran yang lepas, saya tidak menitikberatkan prestasi dan kemajuan dalam pelajaran. Saya belajar, tetapi tidak tahu sejauh mana keberkesanannya.
“Maka buku tersebut digunakan untuk mengukur sama ada saya telah menguasai sesuatu subjek atau pun tidak. Terdapat beberapa formula serta asas pengiraan yang perlu dilengkapkan dan keputusannya menentukan topik atau subjek mana yang masih lemah.
“Keputusan itu akan mendorong saya supaya mempertingkatkan usaha bagi mendapatkan gred yang lebih baik sekaligus memberi semangat untuk meneruskan perjuangan memperoleh 9A dalam SPM”, jelas Ikmal.
Menurut Ikmal lagi, keunikan buku ini turut mendapat liputan stesyen TV NTV7 (Buletin Didik) dan beliau ditemuramah bagi menerangkan sejauh mana keberkesanannya. Apa yang pasti, buku ini terbukti membantu beliau serta rakan-rakan untuk cemerlang dalam SPM bahkan masih digunakan oleh pelajar SPM 2021 MRSM Beseri.
CABARAN PDPR CETUS IDEA

Pandemik COVID-19 telah memberi impak besar kepada pelajar SPM 2020 yang telah mengubah pola pembelajaran secara total. Bagi Ikmal, sesi PDPR sewaktu SPM adalah paling sukar kerana seseorang perlu bijak mengawal emosi dan tidak mudah patah semangat.
“Bukanlah sesuatu yang mudah bagi saya untuk meneruskan PDPR dalam suasana belajar yang baharu, iaitu di rumah. Namun, saya cuba sedaya upaya untuk tidak menjadikannya halangan dan alasan untuk berjaya. Cabaran seperti ini mengajar saya untuk menjadi seorang yang mudah menyesuaikan diri dalam persekitaran yang baharu.
“Kita tidak boleh bergantung kepada kelas dalam talian semata-mata, setiap pelajar perlu ada inisiatif tersendiri. Cari alternatif lain seperti perbanyakkan ulang kaji sendiri di rumah. Kadang-kadang saya buat panggilan video dengan guru dan rakan-rakan untuk membincangkan sesuatu topik, bahkan kita juga boleh merujuk kepada video penerangan sesuatu tajuk di internet. Saya juga ada mengikuti kelas online persendirian,” kata Ikmal.
Situasi yang mencabar ini telah mencetuskan idea untuk beliau menghasilkan buku tersebut dan beberapa formula dikongsikan kepada rakan-rakan lain untuk mengetahui tahap penguasaan sesuatu subjek.
MUZIK SUDAH SEBATI DALAM DIRI SAYA

Ikmal menyedari minatnya dalam mencipta dan menggubah lagu semasa berumur 15 tahun. Beliau suka meluangkan masa dengan bermain piano dan gitar serta mempelajari pelbagai ilmu muzik seperti Music Theory, Vocal Production, Mixing and Mastering dan sebagainya.
“Pada mulanya saya anggap minat ini sebagai hobi baharu, namun sekarang ianya sudah sebati dalam diri.
“Bolehlah dengar lagu yang saya cipta di Youtube, ada dua buah lagu beserta klip video yang dimuatnaik di media sosial dan di Spotify serta Apple Music. Lagu balada yang saya keluarkan semasa PKP 1.0 dahulu berjudul ‘Terima Seadanya’ mendapat sambutan baik.
“Lagu ini menceritakan tentang kepercayaan terhadap diri dan Tuhan dalam mengharungi masalah kemurungan dan apa jua rintangan hidup yang kita hadapi. Klip video tu saya hasilkan sendiri dengan bantuan team production saya,”kata Ikmal berseloroh.
“Mana tahu satu hari nanti saya ada production house sendiri”.
IMPIAN IKMAL
Sejak kecil lagi, Ikmal mempunyai minat dalam komputeran dan teknologi. Minat ini dikembangkan semasa beliau mempelajari subjek Sains Komputer di sekolah rendah. Pelbagai aplikasi dan perisian yang telah diterokai seperti FrogVLE. Kini, beliau sedang mempelajari pelbagai ilmu Sains Komputer secara profesional sebagai persiapan untuk menyambung pengajian dalam bidang Sains Komputer dan Kejuruteraan Perisian (Software Engineering).
“Adalah menjadi impian saya untuk menyambung pengajian saya dalam bidang Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) di United Kingdom. Saya minat bidang ini sebab saya suka mencabar diri dalam menyelesaikan masalah dan berfikir secara kritis.
“Dengan ini, saya dapat mengasah potensi diri dan bakat saya dalam bidang ini. Hasrat saya adalah untuk menjadikan negara selangkah lebih maju dan berdaya saing dengan negara-negara lain dalam pengkhususan teknologi. Dengan tekad yang tinggi untuk mendalami bidang ini, saya berharap agar saya mendapat peluang untuk menyambung pengajian saya di luar negara demi mencapai cita-cita ini,” kata Ikmal mengakhiri perbualan bersama penulis.
Untuk rekod, Ikmal fasih bertutur dan menulis dalam bahasa Mandarin yang dipelajarinya selama 6 tahun di SJK (C) Pei Yu serta pernah mendapat peluang ke Beijing, Guangzhou, Shenzhen dan Hong Kong untuk mempelajari budaya dan kehidupan di sana. Beliau juga berjaya mengekalkan CGPA 3.90 walaupun banyak menyertai pertandingan-pertandingan seperti SPE-UTP Oil Rig Competition dan Pertandingan Literasi SEAMEO RECSAM. Pernah ditawarkan untuk menjadi moderator dalam sebuah perkongsian atas talian, “Kenali Pilihan Anda Selepas SPM!” bersama dengan Dr. Zulkifli Hassan, Kaunselor MARA dan Datuk Azrin Mohd Noor, Founder / Managing Director Sedania Innovator Berhad.