PROGRAM ASASI KOLEJ MARA BERI LALUAN MUDAH PELAJAR KE PERINGKAT IJAZAH PERTAMA

Cheras, 23 Jun – Majlis Amanah Rakyat (MARA) melalui Institusi Pendidikan MARA (IPMA) tahun ini memperkenalkan satu lagi program khas untuk pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) iaitu program Asasi Kolej MARA. Ia merupakan program pra-universiti yang ditawarkan bagi memberi peluang kepada pelajar meneruskan pengajian mereka di peringkat Ijazah Pertama dalam bidang berkaitan tanpa perlu melalui program diploma mahupun tingkatan 6.

Pengarah Bahagian Pengajian Tinggi MARA, Dr. Hamzan bin Omar berkata, “Program Asasi Kolej MARA merupakan program pendidikan yang merangkumi pengajian peringkat persediaan untuk tempoh 1 tahun dalam bidang akademik dan kemahiran insaniah bagi lepasan SPM sebelum mereka meneruskan pengajian ke peringkat Ijazah Pertama”.

“Istimewanya program ini di mana pelajar yang terpilih akan ditawarkan Pinjaman Pelajaran MARA bagi meneruskan pengajian ke peringkat Ijazah Pertama di universiti yang telah disenaraikan”, jelasnya lagi.

Program Asasi ini terbahagi kepada 3 bidang utama iaitu Asasi Kejuruteraan & Teknologi, Asasi Sains dan Asasi Perniagaan. Tempoh pengajian adalah selama 1 tahun di Kolej MARA Kuala Nerang sebelum pelajar melanjutkan pengajian ke universiti awam dan swasta tempatan atau IPMA. Sebagai contoh, bagi Asasi Kejuruteraan & Teknologi, 121 program pengajian akan ditawarkan di 9 universiti awam dan swasta tempatan serta IPMA membolehkan pelajar melanjutkan pengajian selepas tamatnya program asasi ini.

Selain daripada itu, program Asasi Sains pula menawarkan 17 program yang berkolaborasi dengan 6 buah universiti swasta tempatan dan IPMA manakala program Asasi Perniagaan menawarkan 43 pilihan program yang menarik. Antara universiti yang berkolaborasi adalah Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Taylor’s University, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Multimedia (MMU), Universiti Teknologi Petronas (UTP). Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) dan Management & Science University (MSU).

Kolaborasi antara universiti ini merupakan satu inisiatif MARA bagi menyediakan laluan terancang kepada pelajar untuk meneruskan pengajian berdasarkan program yang dipilih. Selain itu, kolaborasi ini merupakan salah satu langkah proaktif Bahagian Pendidikan Tinggi dalam membantu kebolehpasaran graduan bersesuaian dengan bidang pengajian pelajar.

Antara syarat kelayakan akademik program Asasi Kolej MARA ini adalah pemohon merupakan pelajar yang menduduki peperiksaan SPM 2020, memperolehi sekurang-kurangnya gred A- dalam subjek Bahasa Melayu dan Matematik, gred B dalam lima subjek lain mengikut pengkhususan program dan lulus subjek Sejarah.

“Apa yang menariknya, pelajar yang terpilih untuk mengikuti pengajian dalam program ini akan ditawarkan skim bantuan berbentuk geran yang mana yuran pengajian akan ditanggung sepenuhnya oleh MARA. Selain daripada itu, pelajar juga akan menerima ‘duit poket’ sepanjang tempoh pengajian dan disediakan kemudahan penginapan asrama. MARA turut menyediakan kemudahan bayaran balik tiket penerbangan bagi pelajar dari Sabah, Sarawak dan Labuan”, tambah Dr. Hamzan lagi.

Seterusnya pelajar yang memenuhi syarat iaitu mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif 3.00 di peringkat asasi ini akan ditawarkan Pinjaman Pelajaran MARA untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Pertama.

Ditanya mengenai perbezaan antara Young Talent Programme (YTP) dan program Asasi Kolej MARA ini, beliau menyatakan kedua-dua program mempunyai syarat kemasukan dan laluan pengajian yang berbeza di mana pelajar YTP berpeluang melanjutkan pengajian ke luar negara.

Pada tahun ini, MARA mensasarkan pengambilan seramai 600 pelajar bagi program ini dan setakat hari ini sebanyak 42,206 permohonan telah diterima. Permohonan bagi mengikuti program ini telah dibuka bermula pada 26 April yang lalu dan masih dibuka sehingga 30 Jun 2021. Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui portal MARA di http://www.mara.gov.my atau portal Unit Pusat Institusi MARA (UPIM) di https://apponline.mara.gov.my/upimonline.

Dalam masa yang sama, MARA akan mengadakan Karnival Pendidikan Institusi Pendidikan MARA (KIPMA) secara maya yang telah berlangsung mulai 23 Jun sehingga 2 Julai 2021 untuk memberi pelbagai maklumat lanjut mengenai peluang melanjutkan pelajaran di IPMA. Dr. Hamzan menyarankan agar pelajar lepasan SPM 2020 untuk merebut peluang yang ditawarkan sempena KIPMA dengan melayari https://www.mara.gov.my/karnivalipma2021/

oleh : salwa sani

media@mara.gov.my

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.