e-Potensi : Ketahui minat dan kecenderungan di Karnival Institut Pendidikan MARA (KIPMA)

Bayangkan jika anda seorang yang aktif serta kerap terlibat dalam aktivititi kemasyarakatan, tetapi memilih pengajian yang banyak menghabiskan masa di dalam makmal?

Bagaimana pula jika anda seorang yang kreatif, gemar berkarya serta suka kepada persekitaran tetapi mendapat tawaran belajar di dalam bidang perakaunan?

Apa yang akan terjadi apabila anda seorang yang sukakan data dan nombor tetapi memaksa diri belajar kemahiran di bengkel atau lapangan.

Personaliti, minat dan kemahiran diri amat mempengaruhi kita dalam membuat pemilihan sesuatu kerjaya. Kebiasaannya kita akan memilih kerjaya yang menepati ciri-ciri personaliti diri serta minat.

Percaya atau tidak, jika seseorang pelajar salah memilih bidang pengajian malah bertentangan dengan minatnya, kebarangkalian pelajar berhenti di pertengahan jalan akan berlaku dan inilah yang ingin kita elakkan agar masa, tenaga dan wang ringgit tidak terbuang begitu sahaja.

Jadi, bagaimana kita hendak mengenalpasti sama ada personaliti kita menjurus ke arah kerjaya yang mana? Atau mungkin kita sendiri masih tercari-cari hala tuju atau perjalanan masa hadapan kita.

Mudah sahaja, melalui Karnival Institusi Pendidikan MARA (KIPMA), pelajar akan diberikan peluang untuk menguji personaliti dengan menjalani e-POTENSI. Di MARA, instrumen ini digunakan oleh pegawai MARA untuk mengenal pasti kencenderungan minat bagi tujuan melaksana program pembangunan yang bersesuaian.

e-POTENSI ini berakar umbi daripada Teori Holland yang mengaitkan minat manusia dengan persekitaran kerja yang mana teori ini membahagikan personaliti individu kepada 6 kumpulan iaitu Realistik, Investigatif, Artistik, Sosial, Enterprising dan Konvensional. Teori ini membantu menerangkan tentang jenis-jenis personaliti manusia yang mempunyai kecenderungan yang berbeza.

Kaunselor berdaftar MARA, Noor Salwani Basri berkata, ujian e-POTENSI bertujuan membantu pelajar lepasan SPM atau yang sedang mengikuti pengajian di pelbagai institusi pendidikan membuat pemilihan yang tepat berkaitan program pengajian bagi peringkat tertiari. Dari ujian inilah kita akan mengenal pasti pelajar mengikut kelompok kerjaya berdasarkan trait personaliti, minat, kebolehan dan kecekapan.

Menurut Salwani lagi, pelajar yang mendaftar di Karnival IPMA maya ini akan diberikan pilihan sama ada hendak mengikuti ujian e-POTENSI atau terus menjalani konsultasi bersama kaunselor berdaftar MARA yang bertugas pada masa tersebut.

Pelajar yang memilih menjalani e-POTENSI akan diberikan satu pautan dan perlu memastikan nama dan nombor kad pengenalan yang dipaparkan sama seperti data yang telah didaftarkan.

Setelah selesai menjawab semua 56 soalan, pelajar akan menghantar dan selepas itu skor e-Potensi akan dipaparkan dan mengetahui 3 kod kerjaya yang utama. Menerusi sesi kaunseling bersama kaunselor berdaftar, para pelajar akan dibantu untuk mengenalpasti bidang kerjaya dan pilihan pengajian yang bertepatan dengan minat, kebolehan, kecekapan dan personaliti.

Selain itu, kaunselor juga akan merujuk kod kerjaya yang diperolehi melalui kamus Pekerjaan iaitu Dictionary of Holland Occupational Codes yang dituliskan oleh John L. Holland. Hasilnya, pelajar akan mudah dan dapat membuat pilihan untuk memilih bidang pengajian yang akan dimohon di laman KIPMA.

Pada masa yang sama, Salwani turut berharap agar pelajar-pelajar lepasan SPM serta institusi pendidikan seluruh Malaysia tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi KIPMA. Karnival yang berlangsung secara maya ini bermula 23 Jun dan akan berakhir pada 2 Julai 2021 dan sepanjang tempoh ini, pelbagai pengisian menarik disediakan untuk pengunjung.

Bagi menarik pelajar mengunjungi KIPMA, MARA mengambil pendekatan unik berkonsepkan 4P iaitu Penerangan, Permohonan, Penawaran dan Penajaan akan membolehkan surat tawaran terus dikeluarkan kepada pelajar yang memohon dalam tempoh karnival berlangsung. Sila layari  www.mara.gov.my/karnivalipma2021 untuk maklumat lanjut.

oleh : Ierwan Ismail

media@mara.gov.my

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.