Bacaan Yasin Perdana Warga GMI Untuk Kesejahteraan Pelajar

Sesi live bacaan Yaasin oleh GMI

Kajang, 24 Jun 2021 – Seramai 100 orang pelajar dan kakitangan German-Malaysian Institute (GMI) telah menjayakan program “Bacaan Yasin Perdana” untuk pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan bermula 21 Jun secara di dalam talian atau e-assignment. Pada masa yang sama majlis tersebut juga adalah dianjurkan bagi mendoakan kesejahteraan negara yang masih berjuang melawan pandemik COVID-19.

Dalam ucapan ringkasnya, Prof. Ir. Dr. Azmi Hassan, Pengarah Urusan GMI, telah menekankan bahawa majlis ini secara tidak langsung memberi kekuatan secara rohani kepada semua pelajar dalam menduduki peperiksaan dan mengingatkan semua peperiksaan yang bakal dihadapi merupakan satu ujian kecil jika dibandingkan dengan ujian besar yang sedang melanda negara kita

“Semoga usaha secara berterusan seperti ini akan mendapat kerahmatan daripada Allah serta dikurniakan kesejahteraan buat semua,” katanya lagi.

Majlis tersebut dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar GMI di bawah Unit Sokongan Pelajar, Pejabat Pendaftar, melalui aplikasi GoogleMeet dan bermula pada pukul 8:00 malam. Turut hadir pada majlis tersebut adalah Timbalan Pengarah Urusan Khidmat Korporat, Encik Mohd Fairudz Hamdan dan Timbalan Pengarah Urusan Akademik & Operasi, Ts. Dr Muhamad Farid Daud. Majlis dipimpin oleh Ustaz Hj. Husni Muhammad Harun selaku Pegawai Hal Ehwal Islam GMI.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.