8,022 orang pelajar MRSM raikan graduasi secara maya

Kuala Lunpur, 4 Jun 2021 – Seramai 8,022 orang pelajar MRSM seluruh negara layak bergraduasi secara maya menerusi tontonan di Channel Mupdates (Youtube).  Majlis Graduasi MRSM ialah sebuah penganugerahan kecemerlangan akademik kepada pelajar MRSM yang memenuhi syarat-syarat kelayakan bergraduasi setiap tahun bagi meraikan dan menghargai kesungguhan para pelajar untuk terus bermotivasi meraih kejayaan.

Acara tahunan graduasi ini terpaksa diadakan secara maya sebagai salah satu usaha untuk mengelakkan penularan wabak COVID-19 yang semakin menular di negara ini. Bagi memastikan graduasi ini dapat dilaksanakan, majlis secara maya merupakan langkah paling selamat dan sesuai dalam meraikan para graduan MRSM 2020.

Menurut YB Dato’ Azizah Mohd Dun, Pengerusi MARA di dalam ucapannya mengucapkan syabas dan tahniah kepada para pelajar yang dianugerahkan Sijil Graduasi MRSM 2020.

Beliau turut menyatakan bahawa bermula tahun 1972, seramai 178,756 alumni dilahirkan melalui ekosistem pendidikan yang berkesan di bawah MRSM.

“Alhamdulillah ada di antara mereka telah pun menjadi tokoh negara, ahli perniagaan berjaya, ahli korporat terkenal, jurutera, doktor, dan pelbagai lagi kejayaan yang telah mereka capai.”

Penerapan Sistem pendidikan MRSM yang berteraskan kepada subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) amat signifikan dan relevan bagi memenuhi pasaran industri dunia seiring dengan agenda pembangunan negara kita,” tambah beliau lagi.

Dato Azizah turut berpesan kepada seluruh pelajar MRSM di Malaysia agar memanfaatkan masa muda dengan terus menimba ilmu kerana mereka adalah harapan bangsa.

Penghasilan video graduasi secara maya juga merupakan satu inisiatif baharu disebabkan kekangan krisis kesihatan semasa di samping memelihara keselamatan dan kesihatan semua pihak terus terjamin.

Walau bagaimanapun, suntingan video daripada 53 buah MRSM tersebut turut memaparkan keunikan dan kreativiti tersendiri dalam sesi perarakan masuk para guru dan graduan, persembahan istimewa, dan anugerah-anugerah kecemerlangan yang diberikan kepada pelajar.

Meskipun sederhana namun majlis graduasi ini amat penting bagi memupuk semangat pelajar untuk terus maju ke hadapan.

Syabas dah tahniah buat para pelajar MRSM yang menerima anugerah graduasi ini. Kita boleh tonton 10 video graduasi terbaik MRSM di Channel Mupdates (Youtube) https://www.youtube.com/results?search_query=mupdates

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.