Autohaus KL Bukti Kejayaan Usahawan Muda

Kuala Lumpur – Minat yang mendalam dalam bidang automotif telah membawa kejayaan kepada empat anak muda ini apabila kini mereka telah mempunyai 11 cawangan pusat servis kenderaan Autohaus Kuala Lumpur. Mereka berempat merupakan pelajar dari salah sebuah universiti di Jerman. Mereka suka melihat bengkel-bengkel di sana yang lebih teratur dari segi SOP, pekerja, kelengkapan dan juga suasana bengkel itu sendiri sehingga menjadikan inspirasi untuk mempunyai bengkel sendiri yang sama konsep seperti di Jerman apabila habis belajar nanti.

“Semasa kami belajar di Jerman, kami suka melihat bengkel-bengkel di sana lebih teratur dari segi SOP, pekerja, bengkel dan kelengkapan yang disediakan. Apabila kami bandingkan dengan bengkel di Malaysia, tiba keazaman untuk kami membuka bengkel di Malaysia yang sama konsep dengan di Jerman.”

Menurut Luqman, salah seorang daripada rakan kongsi Syarikat Techniker Expert Sdn Bhd itu, pada mulanya mereka tidak terus membuka bengkel sendiri malah mereka bekerja dahulu di sebuah syarikat korporat di Malaysia dan salah seorang daripadanya membuat Master dalam jurusan Business Administration dan tesisnya adalah berkaitan bengkel. Mereka berempat menjadikan tesis itu sebagai panduan dan berbincang untuk membuka bengkel pertama di Keramat.

“Pada masa itu kami masih bekerja di syarikat swasta dan bajet masing-masing hanyalah RM20,000 seorang, kami hanya mampu membeli satu kelengkapan serta mengambil dua orang pekerja sahaja. Kami telah meluangkan banyak masa dan usaha di bengkel dan Alhamdulillah konsep itu diterima oleh pelanggan-pelanggan di Malaysia dan dari situ kami berkembang mempunyai sebelas bengkel sehingga sekarang,” tambah Luqman.

Bantuan yang diterima dari MARA menerusi Skim Pembiayaan Perniagaan Mudah Jaya (SPiM) dan diberi peluang menjadi peserta Program Pembangunan Usahawan Automotif MARA Petronas (PUMP) banyak membantu rakan kongsi itu mengembangkan perniagaan dengan membuka cawangan baru Auto Expert.

“Kami nampak kesungguhan MARA di situ sangat mengujakan sehingga Dato’ Zulfikri Osman, Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA melawat cawangan kami di Shah Alam dan mengadakan mesyuarat bersama kami untuk membincangkan beberapa perkara yang MARA boleh bantu bagi mengembangkan lagi perniagaan ini.”

Tambah mereka juga, antara cabaran yang dihadapi rakan kongsi itu paling utama adalah kewangan. Mereka banyak meluangkan masa di bengkel dan kebanyakan kerja dilakukan sendiri untuk menjimatkan kos contohnya membancuh simen sendiri dan menyimen lantai bengkel untuk keselesaan pelanggan.

“Dari segi pemasaran pula kami banyak luangkan masa sehingga jam 2.00 pagi untuk mengedarkan ‘flyer’ di kawasan sekitar,” katanya.

Mereka amat bersyukur dan berterima kasih kepada MARA kerana telah mencapaikan impian mereka untuk membuka bengkel yang berkonsep teratur dan lebih kukuh sehingga ke hari ini.

“Kepada usahawan muda yang ingin meceburkan diri dalam bidang perniagaan haruslah mempunyai perancangan perniagaan terlebih dahulu dan mulakan dengan bajet yang rendah. Jangan terus lompat pada bajet yang tinggi jika tiada pengalaman dan paling penting jangan mudah putus asa,” nasihat dari salah seorang rakan kongsi itu.

Skim Pembiayaan Perniagaan Mudah Jaya (SPiM) merupakan pembiayaan perniagaan MARA bagi syarikat pemilikan tunggal/enterprise sehingga RM500,000 dan RM1,000,000 bagi syarikat Sdn Bhd untuk modal pusingan, ubahsuai premis, pembelian alatan dan mesin mengikut syarat-syarat yang ditetapkan. Info lanjut boleh layari portal MARA di http://www.mara.gov.my.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.