
Semenyih, 24 Mei 2021 – Keputusan Farah Elina Azmi, 32, berhenti kerja sebagai seorang akauntan di sebuah syarikat ternama dan menceburi bidang perniagaan kek buah bukanlah keputusan yang sia-sia kerana kini usahanya membuahkan hasil.
“Saya bekerja di syarikat Ernst & Young selama 5 tahun dan mengambil part time course ICAEW. Saya berjaya menghabiskan 20 mata pelajaran sebelum saya buat perniagaan Baitun Classic secara sepenuh masa.
Bantuan daripada MARA menerusi Skim Pembiayaan Perniagaan Khas Wanita (DanaNITA) sebanyak RM30,000, Farah Elina yang berasal dari Bangi amat bersyukur dengan kemudahan yang diberi oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta boleh berbangga dengan produknya Baitun Classic Fruitcake di bawah syarikat yang diberi nama 4 Jam Enterprise.
Dengan hanya beroperasi dari rumah namun bantuan pembiayaan ini mampu meningkatkan pasaran dengan membeli industrial oven, dapat menggunakan sistem pesanan Yezza dan menggajikan pekerja tetap.
“Saya mendapat kemudahan DanaNITA dari MARA berjumlah RM30,000. Saya dapat membeli industrial oven yang dapat meningkatkan produktiviti daripada 3 kepada 6 biji kek sehari.
“Bantuan ini juga, membolehkan saya menggunakan sistem pesanan Yezza yang memudahkan pelanggan terus membuat bayaran dan saya dapat mengambil pekerja sepenuh masa,” katanya.
Farah Elina berkata, pada asalnya kek buah ini dijual kepada rakan-rakan dan keluarga terdekat sahaja. Setelah mendapat komen-komen positif, beliau mula memberanikan diri menjualnya di tempat-tempat tumpuan antaranya Suria KLCC.
“KLCC adalah tempat terbaik untuk permulaan kerana saya ada meletakkan kek buah di Karpela KLCC dan dari situ Baitun Classic mula dikenali dan berkembang agak cepat,” katanya.
Tambah Farah juga, beliau amat berterima kasih atas bantuan MARA memudahkan bisnes beliau berkembang dalam dugaan Pandemik Covid-19.
“Saya bersyukur kerana mendapat bantuan daripada MARA dari segi kemudahan pembiayaan DanaNITA.
“Tanpa bantuan MARA, sukar untuk saya meneruskan perniagaan semasa saya menghadapi masalah seperti aliran tunai, logistik dan pekerja kerana bagi meneruskan perniagaan kita memerlukan modal sokongan,” katanya.
Ditanya mengenai keputusannya menceburi bidang perniagaan, Farah Elina berkata setiap perniagaan amat mencabar tetapi ia sangat menyeronokkan jika ia membuahkan hasil.
Paling penting, katanya, setiap orang yang mahu menceburi perniagaan perlu tahu kelebihan diri dan produk yang sesuai untuk dijual. Minat beliau berniaga kek buah adalah daripada neneknya yang dulu menjual kek buah juga.
DanaNITA merupakan pembiayaan khusus kepada usahawan wanita Bumiputera bagi tujuan mengembangkan perniagaan dengan had maksimum RM50,000. Info lanjut, boleh layari portal MARA di pautan https://www.mara.gov.my/bm/menu_keusahawanan/kemudahan-sokongan/pembiayaan-perniagaan/dananita/#tab-id-4