
Ahmad Syarhan Ahmad Syakir,19 yang merupakan alumni Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab Kepala Batas menarik perhatian warganet selepas mengalunkan azan seperti suara bilal Makkah.
Sedutan video azan yang dialunkan Ahmad Syarhan itu dimuat naik menerusi akaun TikTok peribadi miliknya yang telah mendapat tontonan sebanyak 9 juta.
Menurut sumber Harian Metro, alunan azan Ahmad Syarhan pernah disalah erti segelintir warganet yang menyangka dia membuat lyp sinc.
Hakikatnya, Ahmad Syarhan tidak menggunakan aplikasi khas untuk melakukan suntingan dan suara dalam video tersebut yang sebenar kepunyaannya.
Ahmad Syarhan yang berasal dari Rawang, Selangor pernah mewakili MRSM Kepala Batas serta merangkul gelaran johan hafazan Al-Quran kategori sekolah menengah dalam Majlis Tadarus Al-Quran Sekolah-Sekolah (MTQSS) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Peringkat Kebangsaan pada 2019.

Minat Ahmad Syarhan mempelajari taranum bermula di MRSM Ulul Albab Kepala Batas.
Kini beliau meneruskan pengajian Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Pahang.