
Shah Alam, 3 Mei – Program Keusahawanan Sosial – BarberMove merupakan satu inisiatif Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi membantu komuniti B40 untuk keluar dari belenggu kemiskinan serta meningkatkan sosio ekonomi individu berkaitan.
Pengarah Bahagian Infrastruktur Komersial MARA, Zahari Aziz berkata, “Kami rangka satu modul khas keusahawanan sosial – BarberMove untuk melibatkan mereka dalam bidang keusahawanan yang fokus kepada perkhidmatan menggunting rambut. Saya yakin, melalui penyertaan golongan berkaitan dalam program ini dapat memberi sinar baru dalam kehidupan mereka.
“Program kolaborasi antara MARA, Teraju Ekonomi Asnaf (TERAS) dan GIATMARA bukanlah untuk keuntungan semata-mata tetapi ianya boleh mewujudkan peluang pekerjaan serta mengasah bakat terpendam golongan belia dalam bidang gunting rambut,” tambahnya lagi
Kursus Asas Menggunting Rambut ini telah diadakan selama 3 hari bermula dari 19 hingga 21 April yang lalu di Pusat GIATMARA Shah Alam. Seramai 14 orang asnaf telah dipilih bagi mengikuti kursus ini dan pemilihan peserta dibuat dengan kerjasama TERAS. Peserta yang terpilih turut menerima kit menggunting rambut yang disumbangkan oleh TERAS, manakala latihan pula telah dikendalikan oleh tenaga pengajar GIATMARA yang profesional.
Mengulas lanjut program tersebut, Zahari yang hadir merasmikan penutup kursus tersebut berkata, “Selepas tamat kursus asas ini, 14 peserta berkaitan akan mengikuti Latihan Pembentukan Usahawan (LPU) bagi memastikan hasrat MARA dalam membangunkan usahawan daripada golongan tersebut tercapai.”