Program Ihya Ramadan Peringkat MARA Negeri Sembilan Semarakkan Kasih Ramadan | MARA PRIHATIN RAMADAN

Puan Mimi Mazlin (kiri) menyampaikan bubur lambuk kepada tetamu

Seremban, 3 Mei 2021 –Pejabat MARA Negeri Sembilan telah mengambil inisiatif mengimarahkan lagi bulan Ramadan al-Mubarak di samping meraikan 15 orang anak yatim sempena Nuzul Al-Quran baru-baru ini serta memberikan tawaran skim pembiayaan perniagaan kepada usahawan.

Menurut Puan Mimi Mazlin, Pengarah MARA Negeri Sembilan, pihak mereka telah pun mengadakan pelbagai pengisian Program Ihya Ramadan dengan mengadakan ceramah, agihan bubur lambuk, memberi sumbangan kepada anak yatim, penyampaian surat tawaran perniagaan kepada usahawan, khatam al-Quran serta majlis berbuka puasa.

“Alhamdulillah, saya rasa bersyukur kepada Allah kerana perancangan yang kami lakukan berjalan dengan amat baik sekali.”

“Program sederhana dan bermakna ini sememangnya bertujuan untuk kita terus menyahut MARA PRIHATIN RAMADAN peringkat kebangsaan serta menjadi tanggungjawab pihak kami dalam menyebarkan manfaat kepada mereka yang memerlukan.” tambah Puan Mimi.

Selain itu, Puan Mimi juga menyatakan bahawa sebanyak 400 bungkus bubur lambuk telah pun diagihkan kepada beberapa agensi, jabatan, dan petugas barisan hadapan di sekatan jalan raya (SJR) di tol-tol utama di Negeri Sembilan.

“ Kita juga meraikan kehadiran anak-anak yatim dan asnaf dengan menyampaikan duit raya sebagai satu sumbangan buat mereka sebelum menjelangnya Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.”

Tambahan lagi, seramai 8 orang usahawan MARA di Negeri Sembilan menerima surat tawaran Pembiayaan Perniagaan Prihatin Mikro (S3P) dan DANANITA dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM200 ribu yang disampaikan oleh Pengarah MARA Negeri Sembilan.

Menurut Puan Mimi, peruntukan yang diperolehi oleh pejabat MARA Negeri Sembilan adalah sebanyak RM3.5 juta untuk Skim Pembiayaan S3P dan daripada nilai ini, sebanyak 16 permohonan melibatkan jumlah sebanyak RM530,000.00 telah dipohon dan dalam proses kelulusan.

Program IHYA Ramadan yang diadakan pada 29 April lalu berjaya dilaksanakan hasil daripada kolaborasi daripada pihak penyewa premis Persatuan Penyewa Seremban Plaza (PUSPAZA), MARA Excellence Centre (MEC), Badan Ugama dan Kebajikan (BUKM) , Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Rumah Anak Yatim Mawarku, Paroi Jaya.

This entry was posted in Lain-Lain. Bookmark the permalink.